LUMUT 24 Nov. – Kerajaan akan menyelesaikan masalah berkaitan prasarana dan fasiliti yang kurang memuaskan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia Lumut (TLDM) di sini.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, kerajaan menerima aduan daripada anggota TLDM agar membaiki beberapa kemudahan di dalam pangkalan berkenaan seperti kuarters kediaman, gelanggang futsal dan lain-lain lagi.

“Hari ini saya telah selesai melakukan lawatan di beberapa tempat di sini dan kita perlu membaiki kuarters yang sudah berusia lebih 30 tahun untuk keselesaan anggota tentera malah Hospital Angkatan Tentera (HAT) Lumut juga perlu dimodenkan.

“Selain itu kerja-kerja baik pulih dan membesarkan Masjid An Nur yang tertangguh perlu disiapkan dengan kadar segera memandangkan anggota tentera terpaksa solat di gelanggang futsal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan kerja di Pangkalan TLDM di sini hari ini.

Ini merupakan lawatan kali pertama Mohamad ke Pangkalan TLDM Lumut sejak memegang portfolio Menteri Pertahanan.

Yang turut hadir, Panglima Angkatan Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Reza Mohd. Sany.

Mohamad berkata, walaupun Pangkalan TLDM Lumut pangkalan terbesar dengan jumlah lebih 25,000 penghuni dan telah wujud lebih 35 tahun, beliau berpuas hati kerana ia masih berdiri gah, bersih dan terjaga dengan baik.

Dalam pada itu, Mohamad Sabu menafikan khabar angin yang mengatakan bahawa beliau tidak sihat.

“Kalau saya tak datang sini maka saya tidak sihatlah. Saya sihat dan sudah menjalani pemeriksaan kesihatan cuma batuk dan pening sahaja. Bukannya penyakit serius kerana setakat ini saya sihat dan kuat,” katanya berseloroh.

Sementara itu, dalam ucapannya Mohamad meminta syarikat perniagaan bersama-sama menyumbang kepada Tabung Angkatan Tentera sebagai menghargai jasa dan pengorbanan mereka menjaga keamanan negara.

“Biasanya syarikat perniagaan yang berniaga dengan Kementerian Pertahanan sahaja sering memberi sumbangan kepada Tabung Angkatan Tentera melalui keuntungan mereka.

“Jadi, saya menyeru syarikat perniagaan lain agar turut bersama menyumbang kerana tanpa anggota tentera yang berkorban menjaga keamanan anda tidak akan dapat berniaga,” katanya. – UTUSAN ONLINE