SEREMBAN: Lebih 200 guru akan memberi sokongan kepada rakan mereka dikenali Cikgu Azizan, yang bakal menghadapi perbicaraan kes mencederakan anak muridnya di Mahkamah Majistret di sini, Selasa ini.

Pengerusi Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) negeri, Abu Hurairah Suak, berkata pada 27 November lalu, iaitu penyerahan dokumen pertuduhan di mahkamah sama, lebih 100 guru berkumpul bagi memberikan sokongan.

“Saya amat berharap kali ini lebih ramai guru akan hadir memberi sokongan kepada Cikgu Azizan. Sokongan ini amat penting bagi menaikkan semangat beliau,” katanya ketika dihubungi di sini, tadi.

Abu Hurairah berkata, selain guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid turut memberikan sokongan kepada Cikgu Azizan yang berdepan dengan pendakwaan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, NUTP juga akan menyediakan bantuan guaman bagi mempertahankan Cikgu Azizan dan akan berusaha membantu sebaik mungkin.

Mengikut laman web www.pendidik2u.my, Cikgu Azizan ditahan selepas dipercayai mendenda muridnya kerana kesalahan menghidu gam dan mempengaruhi tiga lagi rakan lain, buli, memukul murid lain dan ponteng sekolah dengan memanjat pagar.

Sebutan kes diadakan pada 31 Oktober lalu diikuti 27 November bagi penyerahan dokumen pertuduhan, manakala 19 Disember ini adalah perbicaraan kes.

Jika didapati bersalah, Cikgu Azizan boleh dipenjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Beliau kini bagaimanapun diikat jamin sebanyak RM500.

Sejak beberapa hari lalu, viral mengenai kisah Cikgu Azizan yang meminta orang ramai supaya memberikan sokongan kepada beliau di mahkamah, dan jika tidak dapat berbuat demikian, boleh juga menyokong menggunakan media sosial dengan #PrayForCikguAzizan.