SIMPANG PULAI: Pusat Rekreasi Lubuk Timah (PRELUT) mengambil inisiatif menyediakan tapak perniagaan percuma kepada peniaga kecil di ruangan Car Boot Sale bersempena Tahun Baru Cina tahun ini.

Pengarah Urusan PRELUT, Fadzil Akma Mohd Yusoff berkata, ia bertujuan memberi peluang khusus untuk belia dan peniaga kecil bagi memulakan perniagaan mereka konsisten.

Menurut beliau, peniaga-peniaga tersebut juga boleh merebut peluang dengan jumlah pengunjung yang dijangka melonjak naik ketika musim perayaan itu.

“Setiap kami musim cuti seperti cuti sekolah dan perayaan, pusat rekteasi dan kolam air panas PRELUT sentiasa menjadi tumpuan keluarga dan pengunjung pelbagai lapisan umur.

“Oleh itu, kami membuka peluang itu untuk anak-anak tempatan berniaga tanpa mengeluarkan modal untuk tapak, kami rasa bersyukur kerana dapat membantu mereka,” katanya kepada Suara Perak.

Fadzil berkata, peniaga boleh memilih sama ada untuk melakukan jualan makanan atau barangan “pre-loved” yang bersesuaian dengan perniagaan masing-masing.

Tambah beliau, pihaknya tidak akan mengambil sebarang margin keuntungan atau peratus daripada pendapatan mereka, malah mereka diberi ruang untuk berniaga setiap hujung minggu selepas sesi pelancaran Car Boot Sale dilaksanakan.

Jelas beliau, peniaga Car Boot Sale harus merebut peluang kerana tapak perniagaan tersebut terhad kepada 15 – 22 lot sahaja, lebih-lebih lagi dengan transformasi PRELUT yang kini semakin menjadi pilihan ramai.

Kata Fadzil, PRELUT kini sudah dilengkapi dengan pelbagai kemudahan rekreasi, antaranya lokasi riadah kanak-kanak seperti Bouncing Castle, menunggang kuda, airwheel serta sukan lasak Tree Top Challenge.

Selain itu, ujarnya, terdapat chalet penginapan, kemudahan karaoke, kolam air panas semulajadi dan PRELUT Dorm House yang boleh memuatkan lebih daripada 144 orang pada satu-satu masa.

“Apatah lagi, kini jalan masuk sepanjang 900 meter ke PRELUT telah diturap sepenuhnya, malah sebuah café berkonsepkan kontena akan siap dibina pada 1 April kelak, memang fasiliti dah lengkap bagi kemudahan semua,” katanya.

Mereka yang berminat untuk menyertai Car Boot Sale tersebut boleh menghubungi Penolong Pengurus PRELUT, Hazarina di talian 019-244-2056.