IPOH 17 Nov. – Sebuah perusahaan memproses makanan ringan dan kacang putih di Buntong didapati masih mempamerkan logo halal pada papan tanda di hadapan serta di dalam premis biarpun pengesahan sijil halalnya telah tamat tempoh pada 31 Januari 2017.

Ketua Pegawai Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak, Shamsul Nizam Khalil berkata, ekoran kesalahan itu, pihaknya telah menyita satu unit papan tanda yang mempunyai logo halal, satu unit logo halal serta dua tray yang mempunyai label halal untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, serbuan tersebut dilakukan kelmarin, kira-kira pukul 11 pagi oleh lima anggotanya bersama sepasukan pegawai dari Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

“Dalam siasatan awal, kita telah bertemu dengan seorang perempuan berbangsa India berumur 49 tahun yang mengaku sebagai pemilik perniagaan di premis tersebut.

“Hasil pemeriksaan yang telah dijalankan mendapati premis itu telah membuat pembungkusan semula ke atas makanan ringan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Shamsul Nizam berkata, pihaknya memandang serius peniaga-peniaga yang melanggar undang-undang kerana mereka perlu tahu akan kesalahan melibatkan makanan, barangan dan perkhidmatan serta penggunaan logo halal yang menunjukkan ia boleh dimakan atau digunakan oleh orang Islam.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 16 Akta Perihal Dagangan 2011. – UTUSAN ONLINE