IPOH – Sebanyak 115 premis makanan di seluruh negeri ini dikenakan tindakan arahan tutup sepanjang tahun lepas selepas dikesan terlalu kotor.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Negeri Datuk Dr Mah Hang Soon berkata penutupan premis itu dibuat mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dalam operasi bersepadu yang dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri sepanjang 2017.

Katanya bagi tempoh sama juga sebanyak 1,148 rampasan dengan nilai RM24,703.61 melibatkan barang makanan telah dibuat.

Rampasan itu berkaitan kesalahan tidak mempunyai label, tarikh luput atau bungkusan makanan rosak seperti kemek dan berkarat.

“Kesalahan sebegini seharusnya tidak berlaku kerana keselamatan adalah sesuatu yang amat penting dan perlu diberi keutamaan apabila melibatkan barang makanan…kita tidak akan sesekali berkompromi dalam isu ini,” katanya pada sidang media selepas menyertai Ops Gou semepena Tahun Baru Cina di sekitar bandaraya ini, hari ini.

Dr Mah yang juga Pengerusi bagi Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri berkata turut menasihatkan pengendali makanan agar lebih berhati-hati terhadap aspek keselamatan makanan yang dijual kepada pelanggan terutama di musim perayaan yang mendatang.

“Peniaga makanan perlu sentiasa mengamalkan keberishan serta mengutamakan aspek keselamatna dlaam penyediaan makanan tanpa mendedahkan makanan kepada bahaya mikrooganisma, kimia dan fizikal.

“Guna air dari sumber yang selamat, jangan merokok, bersin ke arah makanan dan tolong basuh tangan selepas mengendalikan makanan, buang sampah atau ke tandas kerana ini semua boleh menyebabkan keracunan makanan,” ujar beliau.

Dr Mah menambah, pihaknya melalui Jabatan Kesihatan negeri akan meningkatkan pemantauan pada musim perayaan ini bagi memastikan peniaga-peniaga mengikuti peraturan yang ditetapkan.