BATU GAJAH: Sebuah premis memproses todi di Pusing, dekat sini yang telah beroperasi sejak tiga puluh (30) tahun lalu diarah tutup kerana keadaan yang terlalu kotor.

Walaupun premis itu mempunyai lesen daripada kastam dan pihak berkuasa tempatan, tetapi keadaannya sangat kotor sehingga terdapat tikus mati di dalam salah satu tong memproses todi.

Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak, A. Sivanesan berkata, Jabatan Kesihatan mempunyai kuasa untuk mengeluarkan arahan penutupan 14 hari itu mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

“Kita akan sita tempat ini dan pemilik mempunyai 14 hari untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan.

“Selepas 14 hari, pegawai jpn akan melawat lagi tempat ini, kalau mereka puas hati, mereka boleh teruskan dengan kerja-kerja mereka, penjualan mereka dan jika kita tidak puas hati, kita akan lanjutkan tempoh 14 hari itu,” katanya.

Beliau ditemui selepas melakukan pemeriksaan mengejut ke premis itu pada Isnin.

Premis berkenaan terletak jauh daripada kawasan perumahan dan di kelilingi pokok kelapa yang menjadi sumber bahan utama dalam proses membuat todi.

-AWANI