IPOH : Mempromosi perkhidmatan seks menerusi aplikasi Wechat dengan bayaran RM140 untuk tempoh 45 minit ‘bermain’ antara taktik digunakan sindiket pelacuran di Jalan Seenivasagam, di sini.

Kegiatan itu bagaimanapun terbongkar selepas sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menyerbu aktiviti maksiat yang bersembunyi di sebalik rumah urut itu.

Dalam serbuan menerusi Ops Noda bermula jam 9 malam dan berakhir kira-kira dua jam kemudian, seramai lima wanita warga Thailand dan dua wanita warga Laos berusia antara 23 hingga 34 tahun serta dua penjaga premis warga tempatan ditahan.

Ketua Penolong Pengarah JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain, berkata rumah urut itu beroperasi antara jam 12 tengah malam hingga 2 pagi dan menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan yang membuat tempahan menerusi Wechat.

Katanya, apabila persetujuan dicapai maka pelanggan akan pergi ke rumah urut berkenaan dengan pelayan yang berpakaian seksi akan menunggu pelanggan masing-masing di bilik rehat yang terletak di belakang premis berkenaan.

“Terdapat 11 bilik kecil yang diubah suai sebagai bilik khas untuk dijadikan lokasi perkhidmatan seks.

“Dalam serbuan itu, polis merampas pelbagai barangan dipercayai digunakan untuk perkhidmatan seks termasuk kondom, tuala mandi, tisu dan losyen selain wang tunai berjumlah RM462,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, dalam serbuan Ops Dadu yang dijalankan di Taman Canning, polis menggempur sebuah premis di lokasi berkenaan dipercayai menjalankan kegiatan mesin judi.

Mohd Nadzri berkata, dalam serbuan pada jam 9 malam itu, seramai 15 pelanggan lelaki dan 11 penjaga premis berusia antara 23 hingga 45 tahun ditahan.

Katanya, premis berkenaan dipercayai beroperasi sejak tiga minggu lalu di sebelah sebuah medan selera dan mampu mengaut keuntungan sehingga RM10,000 setiap malam.

“Premis berkenaan beroperasi bermula jam 7 malam dan berakhir kira-kira 12 jam kemudian.

“Dalam serbuan itu, polis merampas 42 mesin judi, empat buku nota dan wang tunai berjumlah RM8,698,” katanya.

Beliau berkata, semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh untuk siasatan lanjut.

“Bagi serbuan pertama, kes disiasat mengikut Seksyen 372(B) Kanun Keseksaan; Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 39(b) serta Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 manakala bagi serbuan kedua, kes disiasat mengikut Seksyen 4B (a) dan Seksyen 6 Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya – berita harian