IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Yong Choo Kiong berkata, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sudah ketandusan modal politik sehingga menimbul isu ijazah sarjana yang dimilikinya.

Choo Kiong berkata, Ka Siong sepatutnya menjawap isu yang lebih besar iaitu bila MCA mahu keluar dari Barisan Nasional (BN).

“Dia sudah ketandusan modal politik, cuba mengalihkan perhatian rakyat terhadap isu bila MCA nak keluar dari BN,” katanya kepada Suara Perak pada Sabtu.

Sebelum ini, Ka Siong yang mendakwa kononnya Paul Yong memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Akamai, Amerika Syarikat yang diragui.

Di dalam akaun Facebook miliknya, Presiden MCA itu mendakwa universiti yang kononnya mengeluarkan ijazah sarjana itu tidak mendapat pengiktirafan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Choo Kiong yang juga Exco kerajaan negeri Perak berkata, beliau belajar untuk meningkatkan diri, bukannya untuk kepentingan politik atau pekerjaan.

“Ketika itu, kira-kira 15 tahun lalu, saya sudah menjadi ahli perniagaan yang agak berjaya, apa salahnya saya belajar untuk meningkatkan diri.

“Saya juga tidak terfikir langsung soal pengiktirafan, yang penting saya hanya mahu tingkatkan pengetahuan dalam bidang keusahawanan,” ujarnya.

Menurutnya, rakyat di Tronoh juga tidak pernah bertanya apa kelulusan akademiknya, kerana mereka hanya mahukan khidmat seorang wakil rakyat.

Disebabkan khidmat yang diberinya, tambah Choo Kiong, undi yang diberi rakyat di Tronoh meningkat pada Pilihan Raya Umum Ke-14, berbanding pada PRU-13.