KUALA LUMPUR :  Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong mempamerkan kebolehannya menulis nama sendiri dalam tulisan Jawi yang dilihat sebagai hasrat beliau menyokong tulisan tersebut.

Hal berkenaan dikongsikan oleh Ahli Parlimen Ayer Hitam itu menerusi akaun Facebook beliau semalam dengan turut memuat naik gambar namanya ditulis dalam tulisan Jawi.

Beliau turut berkongsikan tanda pagar #HayatiSeniKhat dalam akaun media sosial tersebut.

“Saya memang mempelajari seni khat secara tidak formal sejak kecil. Walaupun tidak sehandal mana, tapi saya mampu menulis nama sendiri Wee Ka Siong.

“Ketika menjadi Menteri dan Timbalan Menteri dahulu, nama saya dalam tulisan Jawi memang sentiasa dipaparkan di papan tanda pada pintu pejabat dan juga kad nama saya,” katanya dalam akaun media sosial beliau semalam.

Dalam perkongsian Facebook yang berasingan, Ka Siong yang juga satu-satunya Ahli Parlimen MCA berkata, partinya mengalu-alukan sesiapa sahaja yang berminat untuk mempelajari tulisan Jawi yang baginya mampu menonjolkan kepelbagaian budaya bangsa Malaysia.

Jelasnya, MCA berpendapat bahawa apa yang ada dalam buku teks mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 5 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) sekarang yang memberi pendedahan kepada pelajar tentang seni khat, tulisan Tamil dan kaligrafi Cina boleh dikekalkan.

Tambah beliau, kalau seni khat hendak dimasukkan ke dalam mata pelajaran seni SJKC bersama komponen seni dan kaligrafi lain, atau dijadikan aktiviti ko-kurikulum, memang boleh.

“Malah, sekiranya diperkenalkan kelas elektif seni khat atau subjek pilihan kepada pelajar juga tiada masalah.

“Tetapi, bukan dengan cara mewajibkan penguasaan seni khat demi mempelajari simpulan bahasa, pepatah dan peribahasa,” kata beliau.

Beliau berkata, dirinya sendiri belajar tulisan Jawi pada usia 14 tahun.

“Saya juga sentiasa menasihati pelajar SJKC supaya meningkatkan penguasaan bahasa Melayu kerana sebagai anak kampung, saya tahu betapa pentingnya bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa perpaduan dan lingua franca dalam nusantara,” katanya.