LENGGONG: Pertumbuhan ekonomi dan pembangunan di setiap daerah di negeri Perak memberi petanda bahawa prestasi keseluruhan pentadbiran kerajaan negeri berada pada landasan yang positif.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, ia disokong pula oleh pelaksanaan akujanji yang dibuat dalam manifesto pilihan raya umum yang lalu dan ianya masih berterusan mengikut proses yang sepatutnya.

“Dari segi pencapaian, kita telah pun memberikan maklum balas kepada rakyat termasuk dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tentang manifesto yang kita janjikan.

“Tidak ada perkara yang belum dilaksanakan, (dan) ia telah bermula, contohnya dari segi perumahan dan pekan kecil yang berterusan, tiada benda yang belum dibuat lagi, cuma tahap pencapaian ada yang seratus peratus, ada 80 peratus dan sebagainya.

“Ia termasuk hasrat untuk menjadikan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai di mana itu antara halangan terakhir yang sudah pun diumumkan oleh Perdana Menteri dalam pembentangan Bajet 2018,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian dan Pelancaran Permukiman 3 YB Parlimen Lenggong di Arena Amanjaya Lawin. Pada majlis itu, Menteri Besar turut merasmikan program Back to School 2018.

zambry-pelancaran-permukiman 3

Pada majlis itu, Dr. Zambry memulakan penyampaian bantuan program Back to School bagi DUN Kenering dan Kota Tampan yang merangkumi 350 penerima daripada 6,619 orang bagi seluruh Perak.

Majlis itu turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, Datuk Saarani Mohammad; Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah; ADUN Kenering, Datuk Mohd Tarmizi Idris dan Yang DiPertua Baiduri, Datin Seri Saripah Zulkifli.

Sementara itu, ketika mengulas lanjut tentang harapan dan sasaran bagi tahun 2018, beliau berkata, bagi tahun depan, fokus kerajaan negeri lebih menjurus kepada aspek pertumbuhan negeri termasuk pembangunan Wilayah Perak Selatan.

“Sasaran kita berdasarkan kepada bajet, sebagaimana aspek pembangunan yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri contohnya di Tanjung Malim selain melibatkan Pangkor sebagai pulau bebas cukai.

“Tidak terkecuali juga di kawasan sempadan Lenggong ke Pengkalan Hulu yang menjadi kawasan asas kepada konteks pertanian, agropelancongan serta warisan.

“Perhatian turut ditumpukan di Bagan Datuk kerana telah banyak yang kita rangka dengan begitu besar pertumbuhan di sana,” ujarnya.