MANJUNG– Prestasi pelajar lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini mencatatkan kualiti yang membanggakan dengan pencapaian tertinggi dalam tempoh lima tahun sebelumnya.

Menteri Besar Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir menjelaskan atas faktor itu, kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk menambah pendekatan bagi menambah baik mutu pendidikan.

“Kejayaan yang dicapai oleh pelajar dari seluruh Perak tahun ini adalah sesuatu yang membanggakan, dan melalui makluman Pengarah Pendidikan Negeri, pencapaian ini adalah yang tertinggi buat pertama kali dalam tempoh lima tahun.

“Oleh itu kita adakan beberapa siri perbincangan ke arah memperbaiki mutu pelajaran dan pengajaran guru, termasuk tuisyen online dan mind maping.

“Insentif dan bantuan juga diberikan kepada pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat Kolej, Matrikulasi dan Universiti, kita mahu anak Perak berjaya,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Pelajar Cemerlang SPM di Dewan Institut Kemahiran Mara (IKM), di sini hari ini.

Yang turut sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, Datuk Rashidi Ibrahim dan Datin Seri Saripah Zulkifli.

Dalam majlis itu, Dr. Zambry menyampaikan sumbangan kepada kira-kira 500 orang pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2017.

Antara yang menerima sumbangan termasuk pelajar dengan pencapaian 12A, Kwong Chea Chuang dari Sekolah Menengah Kebangsaan Dinding, Lumut .

Jelasnya, sumbangan itu menjadi pendorong buatnya untuk lebih bersemangat dalam mencapai impian menjadi seorang arkitek dan jurutera.

“Saya mahu sambung pengajian di universiti dan minat saya cenderung kepada jurutera atau arkitek, terima kasih kepada guru-guru yang banyak berjasa selama ini,”katanya.