Oleh: Noor Aida Abd Aziz

IPOH: Gelagat orang ramai yang mengerumuni pekarangan Masjid India Muslim Ipoh bagi mendapatkan nasi briyani percuma sempena Ramadan begitu mengujakan.

Program pengagihan nasi bungkus itu bukanlah sesuatu yang asing buat masyarakat di sekitar Ipoh, bahkan sudah memasuki tahun kelima.

Inisiatif Persatuan India Muslim Perak (PRIM) dalam menganjurkan program sebegini ternyata berbaloi apabila menerima sambutan yang tidak mengecewakan saban tahun.

Menurut Pengerusinya, Mohamed Arib Aliah, tujuan utama program ini dijalankan adalah bagi menyemarakkan semangat Ramadan dalam kalangan umat Islam di samping beramal jariah.

“Pada peringkat permulaan kami hanya agihkan sebanyak 500 nasi bungkus kepada orang ramai, lama-kelamaan jumlahnya bertambah sehingga 1250 bungkus sehingga tahun ini.

briyani-percuma 2

“Kami minta maaf dan akui ada sesetengah individu yang datang hari ini tetapi tidak berpeluang untuk membawa pulang nasi bungkus kerana sambutan luar biasa dari orang ramai.

“Nasi bungkus ini juga ditaja oleh Nasi Kandar Padang Kota RTC Gopeng,” kata Mohamed Arib ketika ditemui Suara Perak.

Berikutan itu katanya, pihak PRIM akan membuat penambahbaikan dari segi jumlah pengagihan agar lebih ramai masyarakat di sekitar Ipoh berpeluang mendapatkan nasi briyani percuma.

Dalam pada itu, Mohamed Arib turut mengakui pihaknya mahu lari dari kebiasaan dengan mengagihkan nasi briyani berbanding bubur lambuk yang lebih sinonim dengan bulan Ramadan.

“Nasi Briyani sudah menjadi ‘trademark’ kita dan lokasi setiap tahun juga tidak berubah, hanya di Masjid India Muslim Ipoh sahaja,” katanya.

 

briyani-percuma 3