IPOH – Kerajaan memutuskan untuk memberi keutamaan kepada akujanji yang telah diberikan kepada rakyat sepanjang perkhidmatan bekas Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini termasuk beberapa isu yang telah menjadi harapan kepada rakyat, sama ada di Manong atau Chandan, bagi pelaksanaan, terutamanya dari segi infrastruktur.

Menurut beliau, perkara kedua yang diberi keutamaan ialah beberapa isu yang membabitkan keperluan mendesak untuk penduduk-penduduk di Kuala Kangsar.

Manakala yang ketiga, kata beliau, kerajaan juga memerhatikan mengenai beberapa keperluan terutamanya dari segi pelaksanaan pembangunan sosial ekonomi yang boleh meningkatkan status kependudukan di Kuala Kangsar.

Beliau memberi jaminan bahawa Kuala Kangsar tidak akan ditinggalkan dalam keadaan apa sekalipun kerana yakin bahawa Kuala Kangsar bukan hanya memerlukan politik pembangunan tetapi memerlukan beberapa pengisian yang telah dicernakan untuk pemantauan bagi pelaksanaan.

“Perlu diingat bahawa Kuala Kangsar merupakan Bandar Diraja yang telah membangun begitu pesat, namun kita tidak pernah melupakan beberapa permintaan terutama yang melibatkan kawasan-kawasan pedalaman, termasuk kepentingan Orang Asli yang memerlukan kemudahan-kemudahan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat pembangunan negeri Perak di bilik gerakan Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Isnin.

Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

     

Zahid berkata, Menteri Besar bersama Setiausaha Kerajaan Negeri serta Exco kerajaan negeri memberi tumpuan dan menyelaraskan semua projek yang telah diberi keutamaan.

“Ianya jangan dianggap sebagai janji politik, ia merupakan kesinambungan daripada senarai yang telah diberikan oleh kedua-dua ADUN dan juga Allahyarham Wan Khair-il bagi menentukan bahawa komitmen, sama ada kerajaan negeri ataupun Pusat, akan dilaksanakan bagi memenuhi perakuan yang telah dibuat sebelum ini,” ujarnya.

Beliau memberikan contoh Jambatan Manong yang telah disenaraikan di dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) tetapi belum  dapat dilaksanakan kerana kedudukan kewangan yang belum mengizinkan.

Menurut beliau, jambatan itu merupakan keutamaan yang akan diberikan kerana ia merupakan akujanji yang telah dilontarkan sebelum ini.