IPOH – Pemangku Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Mohamad Kamil Shafie berkata, tidak terlintas langsung di fikiran beliau untuk menjadi calon di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar yang dijadualkan 18 Jun depan.

Sebaliknya, kata Kamil, tanggungjawab beliau sekarang adalah untuk menentukan kemenangan sesiapa sahaja calon yang dipilih untuk pucuk pimpinan parti pada PRK itu.

Tambahan pula, katanya, beliau perlu memberi perhatian kepada tanggungjawabnya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manong dan Pengerusi Tourism Perak Management Berhad.

“Misi utama saya ialah untuk memenangkan pilihan raya kecil ini, itu satu cabaran yang besar. Saya baru sahaja memegang jawatan Pemangku Ketua UMNO bahagian, tidak pernah terlintas lagi soal untuk menjadi calon PRK.

“Tambahan pula sebab saya seorang ADUN, kalau tidak, mungkin saya mempunyai pemikiran yang berbeza,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Perhubungan UMNO Negeri Perak di sini pada Jumaat yang dipengeruskan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang juga Menteri Besar Perak.

Kamil ditanya mengenai kemungkinan beliau dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada PRK Kuala Kangsar yang diadakan ekoran kematian Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sarawak baru-baru ini

Menurut Kamil, di dalam sejarah UMNO, bukanlah menjadi amalan parti itu untuk mencalonkan seseorang pemimpinnya bertanding kerusi ADUN dan juga Parlimen, seperti yang diamalkan pembangkang.

“Di dalam UMNO ada, tetapi tidak banyak, satu atau dua di Kelantan sahaja, kerana kita mempunyai ramai pemimpin yang boleh ditonjolkan,” ujarnya.

Kamil mengakui tanggungjawabnya sebagai Pemangku Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar sangat besar, lebih-lebih lagi untuk meneruskan legasi Wan Khair-il, seorang yang sangat disayangi oleh penduduk Kuala Kangsar.