KUALA KANGSAR – Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bangga dengan kesiapsiagaan sayap parti itu dalam menghadapi PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar pada bulan hadapan.

Beliau berkata, meskipun kempen terpaksa dijalankan dalam bulan Ramadan, namun semangat Wanita UMNO tidak akan pudar malah akan lebih membara.

Ujarnya setakat ini, komitment ditunjukkan sayap parti itu berada pada tahap membanggakan dan Wanita UMNO Pusat akan terus membantu kempen di kedua-dua parlimen tersebut.

“Kita memegang amanah untuk pastikan kemenangan BN di Kuala Kangsar dan Sungai Besar. Wanita UMBO Pusat akan turun untuk membantu jentera tempatan.

“Jentera Wanita sudah bersedia dari segenap aspek, komitmen berada di tahap tertinggi dan kita sedia untuk tempuh apa sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis bacaan tahlil bagi memperingati Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan rasa simpati kepada keluarga Wan Khair-il ekoran pemergian Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu.

“Wanita UMNO Malaysia ucap takziah kepada Datin Mastura Mohd Yazid dan anak-anak di atas pemergian arwah. Beliau mencatat rekod baik sepanjang menjadi Ahli Parlimen.

“Kami juga mengucapkan terima kasih kepada Datin Mastura kerana banyak membantu kerja-kerja arwah selama ini,” ujarnya.