SANDAKAN – Parti Amanah Negara (Amanah) tidak menghalang bekas pengasas Amanah Sabah, Hamzah Abdullah untuk bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan selagi tidak membabitkan parti itu dalam kempennya, kata Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad hari ini.
“Kita menghormati keputusannya (Hamzah) untuk keluar daripada Amanah dan bertanding sebagai calon Bebas. Itu adalah haknya.

“Tetapi saya berharap Hamzah menentukan supaya nama Amanah tidak dibabitkan (dalam kempen Hamzah),” katanya kepada pemberita selepas melawat Taman Hutan Hujan Tropika Sandakan di sini.

Pada Selasa lepas, Amanah Sabah membuat laporan polis terhadap Hamzah mendakwa melihat beberapa individu berkempen mengedarkan risalah calon Bebas itu memakai baju yang mempunyai logo parti Amanah di Pasar Kim Fung, Batu 4 di sini.

Khalid, yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, turut menegaskan parti itu menyokong calon DAP, Vivian Wong Shir Yee pada PRK Sandakan dan tidak menganggap DAP sebagai musuh kepada umat Islam dan masyarakat Melayu.

“Itu hanya mainan politik yang berlaku di Semenanjung. Kita berharap di Sabah tidak akan menjadi satu isu,” tambahnya.

PRK Sandakan pada 11 Mei ini menyaksikan persaingan lima penjuru melibatkan Wong, Hamzah, calon Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Linda Tsen Thau Lin dan dua lagi calon Bebas – ahli perniagaan Chia Siew Yung dan bekas Pembantu Tadbir Pusat Khidmat Parlimen Sandakan, Sulaiman Samat.

PRK Sandakan diadakan susulan kematian penyandang kerusi Parlimen Sandakan, Datuk Stephen Wong Tien Fatt daripada DAP pada 28 Mac lepas.

Terdahulu, Khalid menghadiri talkimat mengenai perkembangan pembangunan Taman Hutan Hujan Tropika Sandakan dan taman awam Ujana Elopura oleh Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara Rotina Mohd Daik.

Menurut Khalid, kementeriannya akan berusaha mendapatkan peruntukan tambahan bagi membolehkan jabatan itu untuk terus menyumbang kepada usaha mengindahkan landskap negara.

”Saya rasa kawasan ini (taman hutan dan taman awam) perlu dipertahankan dan dijaga dan dibangunkan lagi untuk memberi manfaat kepada rakyat, terutama penduduk Sandakan,” katanya.

Rotina berkata Taman Hutan Hujan Tropika Sandakan seluas 148.6 hektar dibangunkan oleh Jabatan Landskap Negara pada 2003 dengan kos RM1.9 juta dan pengurusannya diambil alih oleh Jabatan Perhutanan Sabah pada 2004 yang menyuntik RM3.3 juta untuk mengindahkan lagi dan menaik taraf kemudahan di taman itu.

Beliau berkata taman awam Ujana Elopura berkeluasan 11.3 hektar dibangunkan dengan kos hampir RM3.4 juta pada 2016 dan pengurusannya diambil alih oleh Majlis Perbandaran Sandakan pada tahun berikutnya (2017).