Aida Aziz

IPOH : Pertubuhan Rangkaian Organisasi (PRO98) Reformis Malaysia Perak memandang serius tindakan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Azmin Ali yang disifatkan membelakangi pucuk pimpinan parti baru-baru ini.

Ia susulan beliau mengatur pertemuan sulit bersama 20 ahli parlimen Barisan Nasional disertai empat Ahli Parlimen Pakatan Harapan di kediaman rasminya di Putrajaya.

Pengerusinya, Shaarani Abdul Khalid berkata, tindakannya itu telah mencemarkan integriti dan kewibawaan kerajaan yang memerintah.

“Kami merasakan Ahli Parlimen PH khususnya Parti Keadilan Rakyat terdiri daripada Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Marina Chin Abdullah, Ahli Parlimen Nibong Tebal, Dr Mansor Othman dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Kamaruddin Jaafar perlu dihadapkan ke Lembaga Displin PH.

“Mereka juga perlu beri penjelasan tentang pertemuan sulit bersama Ahli Parlimen pembangkang, sekiranya gagal memberi penjelasan tindakan paling tegas perlu dikenakan,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat perhimpunan aman serta menyerahkan memorandum kepada wakil Pejabat Menteri Besar di hadapan Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Rabu.

Ujarnya, PRO98 Reformis Malaysia Perak turut merasakan perbuatan itu merupakan satu pengkhianatan yang sukar dimaafkan oleh parti dan rakyat Malaysia yang memberi mandat untuk memerintah pada Pilihan Raya Umum akan datang.

“Kami menggesa Pakatan Harapan mempercepatkan siasatan dan tindakan ke atas kelima-lima mereka ini.

“Kami menggesa Majlis Presiden Pakatan Harapan perlu mengadakan mesyuarat secepat mungkin bagi menentukan kesahihan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam proses peralihan kuasa.

“Ia supaya tidak berlaku teka-teki siapa yang akan menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ke-8,”katanya.