Aida Aziz

IPOH: Pertubuhan Rangkaian Organisasi Reformis Malaysia (PRO 98) Perak, mendesak Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berundur dari jawatannya itu bagi memulihkan keyakinan rakyat dan penyokong Pakatan Harapan (PH) negeri itu.

Setiausahanya, Sazali Samsudin mendakwa terlalu banyak kelemahan dan isu yang terjadi termasuk amalan kronisme, ketirisan termasuk kenyataannya ketika pilihan raya kecil di Tanjung Piai baru-baru ini.

Dakwanya lagi, rakyat Perak khususnya penyokong PH mengetahui Ahmad Faizal mengamalkan kronisme khususnya dalam mengisi jawatan agensi kerajaan dan kepimpinan kerajaan tempatan.

“Pengagihan jawatan dalam pekerjaan kepada pimpinan keempat-empat rakan parti komponen dalam PH tidak diagih dengan saksama, kami kecewa dengan sikap Menteri Besar dari Bersatu dan Exco dari Amanah.

“Menteri Besar didakwa menimbun kekayaan bersama rakan Bersatu dan Umno, malah setiausaha politik beliau juga dikaitkan memainkan peranan besar terhadap peluang hasil khazanah kerajaan negeri.

“Pro98 Perak meminta MB Perak berundur sebagai Menteri Besar untuk pulihkan keyakinan penyokong PH perak serta rakyat negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum berkenaan hal demikian kepada wakil Pejabat Menteri Besar Perak di hadapan bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Difahamkan memorandum itu akan disampaikan kepada 59 ADUN yang hadir dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya lagi, Ahmad Faizal tidak mempunyai komitmen berbincang dengan pemimpin-pemimpin PH.

“Kira-kira lima hingga enam bulan Mesyuarat PH Negeri Perak tidak diadakan supaya melunaskan komitmen bersama kerajaan PH dengan pengagihan jawatan dalam kerajaan pimpinan keempat-empat rakan parti komponen dengan agihan yang saksama,”katanya.