TANJUNG MALIM: Profesion perguruan berperanan penting dalam membina tamadun bangsa, dengan menggalas tanggungjawab untuk mengilmukan pelajar melalui penekanan kepada konsep menginsankan manusia.

Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim bertitah, dalam hal itu, graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim yang tersebar di serata sekolah, dapat memberikan sumbangan paling berkesan dalam usaha membina negara bangsa yang berdaulat dan bersatu padu.

Baginda selaku Canselor UPSI bertitah, UPSI adalah anak pohon yang membesar daripada benih institusi perguruan berprestij yang banyak menabur jasa dalam membentuk negara ini iaitu Sultan Idris Training College atau SITC.

“Lulusan SITC berperanan amat penting dalam sejarah perjuangan kemerdekaan tanah air, lulusannya tidak sekadar menjadi guru di serata negara tetapi bergerak aktif menyemaikan semangat kemerdekaan dan nasionalisme di kalangan anak bangsa,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Istiadat Konvokesyen UPSI ke-19 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI Tanjung Malim di sini pada Selasa.

Tuanku Zara bertitah, sekolah adalah taman didikan dan medan asuhan yang memberikan seluas peluang kepada para guru untuk melentur buluh pada usia rebung.

“Di samping tugas menyampaikan pengetahuan selama 11 tahun anak-anak di taman sekolah, mereka juga hendaklah dilengkapkan dengan komponen ‘bina negara dan bina bangsa’.

“Negara akan mudah terjajah melalui pelbagai cara, apabila warganya tidak memahami sejarah negaranya dan tidak mengetahui peranan yang wajib dipenuhi oleh setiap warga,” titah baginda.

Istiadat konvokesyen kali ini melibatkan penganugerahan kepada 5,182 graduan yang meliputi 101 ijazah Doktor Falsafah, 1,260 ijazah Sarjana, 2,785 ijazah Sarjana Muda dan 1,036 diploma.

Konvokesyen kali ke-19 UPSI itu turut menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan kepada Tan Sri Abi Musa Asaari Mohamed Nor dan Ijazah Kehormat Doktor Kesukarelawanan kepada Ahmad Sani Araby Abdul Alim Araby serta gelaran Profesor Emeritus kepada Dr. Mohd Bohari Ahmad.