PUTRAJAYA: Kerajaan akan melaksanakan program B10, iaitu adunan 10 peratus biodiesel sawit dan 90 peratus diesel petroleum bagi sektor pengangkutan bermula 1 Februari 2019, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, penggunaan B10 itu bagi semua jenis kenderaan diesel seperti pacuan empat roda, lori dan bas juga akan mengurangkan pelepasan gas rumah kaca sebanyak 1.6 juta tan karbon dioksida setahun.

Beliau turut berharap program biodiesel itu diberikan perhatian serius dalam Dasar Automotif Kebangsaan (NAP) yang sedang dirangka dengan memastikan hanya kenderaan diesel yang boleh menerima biodiesel lebih daripada 10 peratus dijual di Malaysia pada masa akan datang.

“Saya menyeru agar pengeluar kenderaan dan pengeluar peralatan asa (OEM) bekerjasama dengan kerajaan dalam menjayakan pelaksanaan program B10 ini termasuk sebarang program biodiesel pada masa akan datang.

“Program B10 akan menyumbang kepada pengurangan pembebasan gas karbon dioksida bersamaan dengan 10 peratus daripada jumlah kenderaan diesel setahun di Malaysia,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Pelancaran Pelaksanaan Program B10 Sektor Pengangkutan di Dataran Putra, di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata, pelaksanaan Program B10 adalah tepat pada masa ini memandangkan harga biodiesel sawit yang rendah berbanding dengan diesel petroleum.

“Hari ini, negara jiran kita Indonesia telah mengatasi Malaysia dan muncul sebagai pengeluar minyak sawit terbesar di dunia.

“Indonesia juga sudah berjaya melaksanakan program B20, iaitu 20 peratus adunan biodiesel sawit dengan 80 peratus diesel fosil secara mandatori sejak Januari 2016 pada sektor pengangkutan tanpa sebarang masalah,” katanya.

Beliau berkata, program biodiesel di Indonesia kini berjaya mengurangkan pengimportan diesel dan mengukuhkan industri sawit dan ekonomi negara Indonesia.

“Sehubungan itu, industri sawit di Malaysia digesa untuk berani meneroka pasaran baru dan membuktikan di mata dunia bahawa kualiti minyak sawit Malaysia adalah antara yang terbaik,” katanya.

Perdana Menteri berkata, beliau juga berharap semua pihak akan bersedia sepenuhnya bagi peningkatan kadar adunan biodiesel kepada B20, iaitu 20 peratus adunan biodiesel sawit dengan 80 peratus diesel petroleum menjelang 2020.

Katanya, program biodiesel itu amat penting bagi negara kerana pokok sawit adalah ‘golden crop’ (tanaman penting) negara dan menjana ekonomi negara sejak sekian lama.

“Penggunaan biodiesel sawit akan memberi impak yang positif terhadap industri sawit melalui pengurangan stok minyak sawit dan seterusnya menstabilkan harga minyak sawit.

“Melalui usaha ini, pekebun kecil sawit seramai 650,000 akan terus menikmati harga sawit yang lebih stabil dan meningkatkan pendapatan.

“Program Biodiesel negara juga akan membantu negara mencapai objektif mobiliti karbon rendah seperti yang digariskan dalam kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK- 11),” katanya – berita harian