IPOH: Kerajaan negeri melalui Jabatan Pertanian Negeri Perak telah melaksanakan dua program untuk membantu pekebun yang mempunyai dusun durian kampung di Hulu Perak meningkatkan pendapatan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Modal Insan negeri, Datuk Saarani Mohamad berkata, dua program itu ialah projek pembangunan kluaster buah (durian) dan bantuan tanaman semula buah-buahan terpilih.

Menurut beliau, pada masa ini, permintaan terhadap durian semakin meningkat, terutamanya bagi tujuan eksport ke China.

“Bagi memenuhi keperluan eksport dan domestik, Jabatan Pertanian Negeri Perak telah mengambil inisiatif untuk membangunkan beberapa projek kluster durian, termasuk di Kg Tasek, Pengkalan Hulu,” katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Aznel Ibrahim (BN-Pengkalan Hulu) di Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Saarani berkata, di dalam projek tersebut, tumpuan diberikan kepada pembangunan kawasan durian sedia ada melalui aktiviti pengembangan jabatan seperti penukaran variety kepada yang disyorkan sama ada secara sulaman atau cantuman dewasa.

Beliau memberitahu, bermula tahun ini, seluas 50 hektar kawasan telah dimasukkan ke dalam program ini yang melibatkan 50 peserta dengan anggaran peruntukan RM128,000.

Di bawah program bantuan tanam semula pula, kata beliau, ia tertumpu kepada varieti dan klon buah-buahan terpilih yang berkualiti, khususnya durian.

“Kaedah pelaksanaannya adalah dengan memberi tumpuan menggantikan pokok-pokok yang tidak ekonomi atau tidak berkualiti kepada klon-klon baru,” ujarnya.