GERIK 9 Okt. – Hampir 1,000 penduduk Pengkalan Hulu dan dari kawasan sempadan Thailand mengadakan majlis gotong-royong memasak bubur asyura sempena Program Asyura Perdana Malaysia-Thailand sempena sambutan Maal Hijrah di sini baru-baru ini.

Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman, berkata, lebih 60 kawah disediakan oleh para peserta untuk program Jom Kacau Asyura.

Menurutnya, beliau merasa bangga apabila program itu sentiasa mendapat sambutan setiap tahun ia diadakan dan pelbagai kaum menyertainya.

“Di samping membuat bubur asyura, mereka saling bertanya khabar dan membantu di antara satu sama lain untuk menyiapkan masakan bubur,” katanya ketika berucap merasmikan Program Asyura Perdana Malaysia-Thailand di Dataran Arena, Pengkalan Hulu di sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu, Aznel Ibrahim dan Pegawai Daerah Betong, Thailand, Damrong Desakun.

Menurut Aznel, program yang diadakan bagi kali keempat itu turut disertai oleh rakyat Thailand dan kaum-kaum lain seperti Cina, India, Siam dan Orang Asli.

Jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan seperti Regimen Sempadan (3RS), polis, kastam dan juga swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) turut meme­riahkan dan menyertai program itu.

Setiap kumpulan diberikan sijil penghargaan atas sokongan dan ucapan terima kasih kerana menyertai program tersebut.

“Program ini amat baik kerana ia merapatkan lagi perhubungan dan mengeratkan sikap kekeluargaan yang sedia terjalin.

“Ini menunjukkan kesepakatan yang jitu dalam kalangan penduduk di sini dan bubur yang telah siap dimasak diagihkan kepada penduduk kampung, anak-anak yatim dan pusat tahfiz,” kata Hasbullah.

Sementara itu, peserta dari Betong, Thailand, Patimah Muda, 43, berkata, ini merupakan kali kedua mereka menyertai program memasak bubur asyura di sini.

“Kami membawa kelainan resipi apabila bubur tersebut dimasukkan pisang muda kemudian dihiasi dengan serunding ikan.

“Penyertaan kami membuatkan hubungan Malaysia dan Thailand lebih rapat seperti adik beradik dan setiap program yang dianjurkan oleh Pejabat Khidmat Masyarakat DUN Pengkalan Hulu, kami akan menyertainya,” kata Patimah.

Tok Batin Orang Asli Kintak, Halipon Saad, 56, pula berkata, penganjuran ini amat bermakna apabila mereka dapat berkumpul dengan masyarakat lain yang sentiasa memberikan kerjasama baik.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pemimpin dan kerajaan yang amat prihatin de­ngan masyarakat Orang Asli dan tidak pernah meminggirkan kami walau dalam apa acara pun.

“Penyertaan kami juga membuatkan minda bangsa kami lebih terbuka dan berfikiran lebih mo­den kerana dapat melihat budaya kaum lain,” kata Halipon.

-Utusan Online