Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Suasana di gedung Mydin begitu ceria dengan kehadiran 730 anak yatim dari seluruh negeri yang memilih baju dan kelengkapan Raya yang bakal disambut tidak lama lagi.

Program Jom Shopping Raya kelolaan kerajaan negeri Perak yang dianjurkan bersama 23 buah rumah anak yatim itu ternyata menggembirakan kanak-kanak berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Rusnah Kasim berkata, program julung-julung kali diadakan oleh kerajaan negeri itu bertujuan untuk memberi keriangan buat semua anak yatim itu.

“Sebelum ini, kita memberi sumbangan duit Raja melalui pengetua sekolah anak yatim, namun pada tahun ini, rasanya tidak salah kita beri peluang mereka merasai pengalaman memilih baju raya bersama rakan-rakan.

“Tanpa kita sedari, inilah yang menjadi suasana kegemaran kita sewaktu masih kanak-kanak, jadi kita berikan nikmat itu kepada mereka agar mereka dapat merasai dan menghargai kenangan itu satu hari nanti,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas bersama-sama anak-anak yatim memilih busana pilihan Aidiliftiri yang disumbangkan oleh kerajaan negeri di Mydin Mall Meru di sini pada petang Isnin.

jom-shopping-raya 2

Rusnah berkata, ada di kalangan anak-anak yatim tersebut tidak pernah merasai suasana memilih kasut atau kelengkapan Raya kerana kehilangan ibubapa seawal usia dua tahun.

Jelasnya, tanggungjawab itu kini digalas oleh kerajaan negeri yang bersedia memberikan kegembiraan kepada kesemua anak yatim beragama Islam sempena Syawal ini.

Tambah beliau, kerajaan negeri membelanjakan sekitar RM73,000 sebagai sumbangan program Jom Shopping Raya khusus untuk anak-anak yatim yang diraikan.

Rusnah berkata, program itu turut melibatkan lebih daripada 1,000 anak yatim daripada 38 buah rumah secara keseluruhannya dan baki 400 orang lagu akan diraikan dalam majlis berasingan.

“Mereka merupakan sebahagian daripada komuniti kita yang mungkin tidak bernasib baik dalam mendapat kasih sayang dan perhatian ibubapa, namun inilah tanggungjawab kami sebagai kerajaan negeri memastikan mereka juga tidak tersisih pada sambutan Aidilfitri kelak,” katanya.

jom-shopping-raya 3