IPOH : Pelancaran program Kemahiran Malaysia 2.0 : Kemahiran Untuk Semua Ke Arah Pekerjaan Kolar Baharu hasil inisiatif Kementerian Sumber Manusia adalah satu langkah bijak dan tepat pada masanya, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Baginda bertitah langkah dirintis oleh kementerian itu diharap dapat memantapkan pembangunan modal insan terbaik dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) selari dengan cabaran perubahan teknologi, peningkatan migrasi pekerja peringkat global serta perubahan iklim dunia.

“Usaha ini diharap dapat memantapkan latihan kemahiran bagi menyokong pembangunan industri dan penguasaan teknologi seterusnya mengurangkan kebergantungan negara terhadap teknologi dan tenaga mahir dari negara luar,” titah baginda pada majlis pelancaran Kemahiran Malaysia 2.0 : Kemahiran Untuk Semua Ke Arah Pekerjaan Kolar Baharu di Institut Latihan Perindustrian Ipoh di sini, hari ini.

Titah Sultan Nazrin, data-data semasa membuktikan lulusan TVET lebih mudah mendapat pekerjaan apabila secara keseluruhan 92 peratus graduannya memperoleh pekerjaan berbanding 30,765 graduan atau 59.9 peratus graduan peringkat pengajian ijazah pertama dan ke atas yang belum bekerja selepas setahun tamat pengajian.

Baginda bertitah keadaan itu membuktikan berlakunya tidak sepadanan antara kelulusan graduan yang dihasilkan oleh Institusi Pengajian Tinggi dengan kemahiran yang diperlukan oleh industri dan ia perlu diatasi.

Menyedari hakikat itu, Sultan Nazrin bertitah agar pendekatan serta latihan di institusi TVET direkayasa dengan memperkenalkan amalan terbaik dalam pengurusan, penggubalan dan reka bentuk program serta penyampaian latihan.

Tumpuan perlu diberikan untuk meningkatkan kebolehan pembelajaran kendiri dengan pendekatan pembelajaran berasaskan masalah, pembelajaran berasaskan projek dan pembelajaran berasaskan pengeluaran.

“Pembelajaran kaedah baharu ini akan memberi pendedahan kepada pelajar berkaitan dunia pekerjaan sebenar. Kaedah pembangunan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan yang menjadi asas pembangunan kurikulum latihan perlu dipertingkatkan selari dengan perkembangan teknologi digital,” titah baginda.

Selain itu, Sultan Nazrin bertitah program-program TVET hendaklah memastikan pelatih dilengkapkan dengan kemahiran insaniah merangkumi kemahiran bukan akademik seperti nilai positif, kepimpinan, kerjasama berpasukan, komunikasi dan pembelajaran berterusan.

Baginda bertitah, aspek etika dan moral wajib dijadikan komponen penting agar teknokrat dan pekerja mahir yang dihasilkan berpegang kepada prinsip-prinsip amanah, integriti, jujur, memusuhi rasuah, tidak bersifat pecah amanah serta tidak sama sekali menyalahgunakan kuasa.

Sultan Nazrin juga bertitah dunia pekerjaan akan berubah secara signifikan dalam era Industri Revolusi Keempat dengan antaranya teknologi automasi meminimumkan penglibatan manusia dalam banyak bidang pekerjaan.

Titah baginda kajian Bank Dunia bersama agensi-agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia, Talent Corp serta Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh pada 2018 mendedahkan 50 peratus daripada pekerjaan di Malaysia menghadapi risiko tinggi untuk diautomasikan manakala 25 peratus lagi menghadapi risiko sederhana.

Titah baginda majikan pada era Revolusi Industri Keempat memerlukan pekerja yang mempunyai kemahiran holistik merangkumi kecerdikan emosi, pemikiran analitis, aktif dan bijak membuat keputusan, berupaya berfikir secara kreatif lagi kritis serta memiliki daya berkomunikasi secara berkesan.

“Pekerjaan pada masa hadapan memerlukan pekerja yang memiliki kemahiran interaksi sosial, ekspresi yang artistik, sikap kolaborasi, empati dan kepintaran,” titah Sultan Nazrin.

Mengenai istilah pekerjaan kolar baharu yang diperkenalkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif IBM, Ginni Rometty pada akhir tahun 2016, Sultan Nazrin bertitah ia menjadikan usaha mengenal pasti jenis pekerjaan baharu yang bakal wujud satu kemestian.

“Pekerjaan teknikal jenis baharu menekankan kepada kemahiran secara khusus tidak lagi ijazah akademik yang bersifat umum sekaligus menunjukkan kecenderungan permintaan tenaga kerja oleh industri masa kini bukan lagi bergantung kepada kelulusan akademik tetapi lebih bergantung kepada kemahiran yang dimiliki,” titah Sultan Nazrin.