BATU GAJAH: UMNO Bahagian Gopeng akan menganjurkan program motivasi untuk para pelajar yang bakal menduduki periksaan UPSR, PT3, SPM dan STPM di Parlimen Gopeng.

Ketuanya, Datuk Hamzah Mohd Kasim berkata, program seumpama itu diharap dapat memberi semangat kepada pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan.

Dalam masa yang sama, kata beliau, pihaknya juga akan mengadakan program yang sama untuk ibu bapa dan pemimpin setempat.

“Dengan adanya program motivasi ini, ibu bapa dan pemimpin masyarakat juga boleh memainkan peranan untuk sama-sama membantu anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutup Program Pemantapan UPSR 2017 di Institut GPMS dekat sini pada Ahad.

Hadir sama Timbalan Ketua Bahagian, Datuk Hang Tuah Din; Naib Ketua Bahagian, Mohd Annuar Baharuddin; Ketua Puteri, Suzana Osman dan pengasas GPMS Perak, Zainal Abidin Mohd Nor.

Lebih 100 pelajar yang akan mengambil peperiksaan UPSR tahun ini mengambil bahagian di dalam program itu.

Dalam pada itu, Hamzah memberitahu, beliau sedang berusaha untuk mendapatkan peruntukan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menambah baik Institut GPMS.

Sementara itu, ketika merasmikan Kejohanan Bolasepak Tujuh Sebelah Piala MIC Gopeng, beliau berkata, pihaknya merancang untuk menubuhkan pasukan bolasepak BN Gopeng yang menggabungkan pemain-pemain dari parti-parti.