MALIM NAWAR: Warga Tualang Sekah dan kawasan sekitarnya berpeluang menyaksikan pelbagai aktiviti menarik hujung minggu ini apabila program Negaraku Jom Singgah – Sehati @ RTM akan diadakan di Arena Rakyat Tualang Sekah.

Program pada 3 & 4 Mac ini, yang dianjurkan dengan kerjasama Nasionalfm dan kerajaan negeri Perak, turut melibatkan stesen-stesen RTM seperti RTM Perak, Traxxfm (Inggeris), Aifm (Mandarin), Minnalfm (Tamil) dan Asyikfm (Orang Asli).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, program itu mempunyai tiga slot utama iaitu rakaman Raudhah bersama Ustaz Haslim Baharin (Bollywood), pelancaran Kampung Karyawan dan konsert X-presi beberapa artis seperti Hail Amir, Nassier Wahab, Zur Eda, Suffian Suhaimi dan Najwa Latif.

Rakaman Raudhah akan diadakan pada 3 Mac jam 9 malam, pelancaran Kampung Karyawan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada pagi 4 Mac manakala pada sebelah malamnya pula Konsert X-presi.

“Selain daripada itu, pelbagai aktiviti turut diadakan yang melibatkan penduduk setempat seperti senam vaganza, program jom baiki rumah di Kampung Seri Malim, agro tani, pelbagai pertandingan, free market dan jualan,” katanya dalam sidang media di sini pada Isnin.

Hadir sama Pengurus Radio Malaysia Nasionalfm, Bibi Moyedden dan Timbalan Pengarah RTM Perak, Zazmi Mohd Zain.

Nolee berharap, rakyat di sekitar kawasan Tualang Sekah seperti Batu Gajah, Gopeng, Kampar, Tanjung Tualang dan yang berhampiran, dapat datang beramai-ramai menghadiri dan mengambil bahagian di dalam aktiviti yang diadakan sepanjang sehari dua malam itu.

Bibi pula berkata, jom baiki rumah adalah program Tanggungjawab Sosial Korparat (CSR) RTM untuk sepuluh buah rumah golongan yang kurang berkemampuan.

Menurut beliau, Negaraku Jom Singgah – Sehati @ RTM di Tuala Sekah adalah antara program RTM untuk mendapatkan maklumbalas pendengar mengenai keberkesanan program yang diterbitkan radio RTM di samping mendekatkan agensi berkenaan kepada masyarakat.

Sementara Nazmi pula memberitahu, Perakfm akan membuka mini studio di sepanjang program dengan menampilkan beberapa personalit radio.

5112e75a-d591-4822-8c37-476a0c75594b