Oleh: Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Buat pertama kalinya Majlis Anak Muda Tambun ( MAMAT) dengan kerjasama Critical Minded Team (CMT) telah menganjurkan kejohanan bola jaring dan sepakan penalti yang memeriahkan komuniti di kawasan Manjoi baru-baru ini.

Ratusan belia dari seluruh negeri Perak juga tidak melepaskan peluang menyertai aktiviti penganjuran sukan di bawah Pertandingan Bola Jaring dan Sepakan Penalti Piala Datuk Azizul Kama (PDAZ) 2017 tersebut yang bermula seawal pukul 7 pagi.

Hujan lebat pada awal kejohanan juga tidak mematahkan semangat para belia dan pihak penganjur untuk menyaksikan persembahan bertenaga brass band dari Rejimen Renjer Di Raja Batalion 9 selain senamrobik yang memeriahkan Padang Lintau Kg Tengku Hussein tersebut.

Penaung pertandingan, Datuk Azizul Kama Abd Aziz berkata kejohanan yang menghimpunkan kesemua belia dari pelbagai latar belakang tanpa mengira kaum dan agama itu merupakan satu kaedah terbaik untuk meluangkan masa bersukan di hujung minggu.

“Pertandingan yang diadakan kali pertama ini mendapat sambutan cukup baik bukan sahaja dari warga Manjoi, atau Ipoh malah dari setiap daerah di negeri ini, menunjukkan komitmen dan minat belia terhadap sukan sebenarnya masih ada, cuma kurang diberikan pendedahan.

PDAZ 3

“Malah ramai yang mencadangkan untuk meneruskan program ini pada tahun hadapan jadi saya rasa biarlah ia menjadi satu acara tahunan untuk semua mempamerkan bakat di samping beriadah dengan keluarga masing-masing, beristirehat dan bersosial dengan masyarakat berbilang bangsa,” katanya kepada Suara Perak ketika ditemui baru-baru ini.

Jelasnya, pertandingan yang turut dibantu oleh Puteri UMNO Bahagian Tambun itu menyaksikan sebanyak 20 pasukan wanita menyertai pertandingan bola jaring manakala 28 pasukan turut menghantar penyertaan bagi sepakan penaliti.

Johan bagi pertandingan bola jaring diungguli oleh pasukan Majlis Daerah Batu Gajah dan Majlis Bandaraya Ipoh memenangi tempat kedua sementara pasukan pelawat,Fantastic 7 dari Pulau Pinang berpuas hati di tempat ketiga.

Selain itu, pasukan Sungai Tapah FC menduduki tempat pertama bagi sepakan penalti diikuti dengan Belia Manjoi FC di tempat kedua dan tempat ketiga milik pasukan Gong Drong FC.

Dirasmikan oleh ADUN Hulu Kinta, Datuk Aminuddin Md Hanafiah, beliau turut kagum akan semangat kesukanan yang ditunjukkan oleh golongan belia sambil mengakui ianya merupakan satu platform terbaik dalam usaha penyatuan komuniti.

Katanya, program berkenaan merupakan pengisian bermanfaat yang akan memberikan motivasi kepada komuniti sekitar gugusan Manjoi untuk mengamalkan gaya hidup sihat.