TITI SERONG – Kerajaan negeri komited melaksanakan program pemutihan telekomunikasi bagi mengenal pasti jumlah menara telekomunikasi yang beroperasi secara haram di Perak sehingga 31 Julai ini.

Exco Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkata, inisiatif itu terpaksa dilaksanakan susulan banyak syarikat telco tidak membayar dan memperbaharui lesen pendaftaran menara komunikasi dengan pihak berkuasa tempatan(PBT) sejak tiga tahun lalu.

Menurutnya, Kerajaan negeri Perak turut menanggung tunggakan hampir RM1.7 juta susulan kegagalan sebahagian syarikat telco melunaskan pembayaran lesen operasi menara komunikasi.

“Sebelum ini, ada pihak telco sedikit tidak berpuas hati pada polisi dilaksanakan kerajaan negeri terdahulu, jadi mungkin atas sebab itu mereka bertindak culas membayar lesen operasi menara komunikasi.

“Lagipun sebelum ini, banyak syarikat telco apabila ‘pacak’ menara telekomunikasi tidak daftar kepada pihak PBT, mereka terus berurusan dengan pemilik tanah persendirian tanpa memaklumkan kepada kerajaan negeri.

“Sekarang kerajaan negeri hendak memberi kelulusan kepada operasi menara komunikasi, jadi kita boleh tahu jumlah sebenar menara yang ada di Perak dan berapa keperluan perlu ditambah di sesuatu kawasan,”katanya pada sidang media pada program lawatan Pusat Internet Malaysia di Kampung Tebuk Haji Musa, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Ismail Othman dan Ketua SKMM Pejabat Negeri Perak, Hanita Izam Abdul Rahman.

Hasnul Zulkarnain berkata, pihaknya sangat berharap menerima kerjasama penuh semua syarikat telco bagi menyahut program pemutihan dan membuat pendaftaran dengan PBT.

Menurutnya, pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan semua PBT dan syarikat telco dan melalui PBT, Kerajaan negeri sudah menghantar surat kepada semua telco memaklumkan perlaksanaan program pemutihan menara telekomunikasi.

“Kerajaan negeri menetapkan perkara itu diselesaikan sebelum 31 Julai.

“Selepas itu, jika tiada tindakan daripada pihak telco, satu tindakan tegas diambil kerajaan negeri memandangkan apabila tidak datang hasil pada negeri, negeri tidak dapat memberi pulangan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.

Hasnul Zulkarnain turut menegaskan kerajaan negeri menyasar untuk mendapatkan lebih RM2 juta melalui kutipan bayaran lesen operasi menara komunikasi daripada syarikat-syarikat telco pada tahun hadapan.

Menurutnya, kerajaan negeri juga akan menyelaraskan semula caj lesen operasi menara komunikasi mengikut kadar bersesuaian.

“Setakat ini, bayaran satu tapak kepada kerajaan negeri kurang daripada RM3,000 setahun dan kita akan cuba selaraskan semula kepada kdar lebih bersesuaian pada masa hadapan.

“Kerajaan negeri juga cuba menggalakkan syarikat telco untuk membina menara telekomunikasi di atas tanah milik kerajaan negeri dan kita turut buka pintu kepada semua telco memajukan industri komunikasi dan ICT di Perak,”katanya – sinar