IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menjelaskan bahawa Program Permukiman Menteri Besar yang dijalankan kerajaan bukan kempen pilihan raya.

Menurut beliau, program tersebut telahpun bermula seawal-awal selepas Pilihan Raya Umum ke – 13 (PRU13) yang lalu.

“Di samping menafikan tanggapan yang tidak berasas ini, saya turut tertanya-tanya apakah usaha pihak kerajaan menyelami dan menyelesaikan masalah rakyat boleh ditakrifkan sebagai berkempen, walhal ia mencerminkan kebertanggungjawaban sesebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

“Sebaliknya jika pula pihak kerajaan tidak ambil peduli dan tidak mendekati rakyat tentulah terjahan tanggapan yag dilontarkan tidak lain tidak bukan menuduh kerajaan tidak ambil berat terhadap rakyat,” katanya menjawab soalan tambahan Chang Lih Kang (DAP-Teja) semasa sidang Dewan Negeri Perak pada Isnin.

Apapun, menurut Dr Zambry, beliau yakin rakyat tahu menilai dan merekalah yang sebenarnya menjadi hakim dalam perkara ini.

Beliau memberitahu bahawa kerajaan negeri akan meneruskan program permukiman yang pada mulanya dijalankansejak 2010 yang dikenali sebagai program turun padang yang menekan konsep 3P iaitu Padang Perasaan dan Penyelesaian.

Katanya, menerusi pendekatan itu barisan kepimpinan kerajaan negeri termasuk pegawai-pegawai kanan jabatan dan agensi negeri serta Persekutuan turut mendekati rakyat secara langsung serta membuka ruang dan peluang untuk menyelesaikan permasalahan rakyat.

Beliau turut merakamkan terima kasih kepada semua agensi dan jabatan kerajaan di peringkat negeri dan Persekutuan kerana memberikan kerjasama dalam menjayakan program permukiman itu.