IPOH: Program Permukiman Menteri Besar di daerah Hilir Perak akan diadakan selama lima hari mulai 18 – 22 April ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berharap, seperti program permukiman terdahulu, ia akan dapat merungkai segala permasalahan rakyat di daerah berkenaan.

Menurut beliau, sebanyak 108 program yang meliputi pelbagai aktiviti telah disusun dengan melibatkan penyertaan semua anggota Exco kerajaan negeri, agensi dan jabatan kerajaan.

“108 program ini dibahagikan mengikut tanggungjawab Exco serta saya selaku Menteri Besar dan kita akan berada di kawasan Hilir Perak bersama rakyat bagi mencari dan menyelesaikan permasalahan rakyat di kawasan berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Rabu.

Dr Zambry berkata, selain mewujudkan hubungan dengan masyarakat tempatan di daerah Hilir Perak, beliau berharap program itu akan berjalan dengan baik dan masyarakat yang tinggal di kampung mahupun bandar, termasuk masyarakat Orang Asli akan turut menyertainya.

Beliau mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa program Permukiman Menteri Besar ini bukan merupakan program parti atau politik dan setiap wakil rakyat di kawasan berkenaan adalah dijemput untuk menyertainya.