KUALA KANGSAR: Program Permukiman Menteri Besar yang masuk kali kelapan di Daerah Kuala Kangsar menjadi contoh beberapa negeri lain.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, beberapa negeri ingin mencontohi apa yang dilaksanakan di negeri ini sejak Permukiman di daerah Hulu Perak.

“Mereka ingin belajar bagaimana kita mengadakan program selama lima hari dan saya katakan walaupun kita buat permukiman lima hari di daerah, urusan pentadbiran berjalan seperti biasa,” katanya ketika berucap dalam Program Santai YAB Menteri Besar Bersama Penjawat Awam di Dewan Jubli di sini pada Jumaat malam.

 

permukiman-contoh 5Hadir sama Orang Besar Jajahan Kuala Kangsar, Datuk Seri Wan Fadzir Wan Hussain, beberapa anggota Exco kerajaan seperti Datuk Saarani Mohamad, Datuk Dr Mah Hang Soon, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Yazid dan ADUN Bukit Chandan, Maslin Sham Razman.

Dr Zambry berkata, program permukiman di Kuala Kangsar yang diisi dengan 157 program yang dijadualkan telah berjalan dengan berjaya.

Menurut beliau, kejayaan itu adalah hasil kerjasama semua pihak, termasuk penjawat awam di daerah ini.

Sambil mengucapkan terima kasih, beliau berharap penjawat awam akan terus menjalankan tanggungjawab dengan semangat berpasukan.

Dr Zambry memberitahu, ketika dalam majlis Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengakui penjawat awam di Perak adalah antara yang terbaik.