BAGAN SERAI – Sebanyak 316 saman terhadap pelbagai kenderaan dan kesalahan dikeluarkan dalam operasi bersepadu dinamakan Ops Santai Anak Utara (SAU).

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, operasi bersepadu ini dilaksanakan di beberapa lokasi daerah Kerian termasuk kawasan lebuh raya yang turut melibatkan anggota Trafik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) dan EMPV Zon Utara 3 Perak.

Menurutnya, dalam operasi disertai seorang pegawai dan 23 anggota polis, sebanyak 450 motosikal diperiksa dan 316 saman dikeluarkan.

“Kesemua saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan polis mengenal pasti jenis kesalahan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi mencatat jumlah saman tertinggi sebanyak 225 saman.

“Antara kesalahan lain yang direkodkan pihak polis adalah cermin sisi, aksesori tidak sempurna, lesen serta insuran kenderaan tidak diperbaharui dan sebagainya,” katanya kepada media di sini hari ini.

Omar Bakhtiar berkata, polis akan terus mengadakan operasi sebegini dari semasa ke semasa bagi memastikan setiap pengguna jalan raya khususnya golongan muda agar mematuhi peraturan jalan raya ditetapkan.

Semalam, program Santai Anak Utara yang dirasmikan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu dan dihadiri lebih 2,000 anak muda bermotosikal mencetuskan tragedi apabila salah seorang peserta meninggal dunia akibat kemalangan sewaktu menyertainya – sinar