IPOH – Dalam usaha meringankan beban golongan yang memerlukan tanpa mengira bangsa atau agama, Yayasan Kebajikan Negara (YKN) melalui Program Selami Kasih 2018 telah memberi bantuan kepada 20 individu di Simpang Pulai, hari ini.

Dua puluh individu yang mengalami pelbagai bebanan hidup itu dibantu oleh yayasan berkenaan dalam tiga kategori iaitu pendidikan, kebajikan dan juga kesihatan.

Lebih manis, bantuan tersebut disampaikan sendiri oleh Pengerusinya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil di rumah salah seorang penerima A. Amodom,71, di Kampung Kepayang, di sini.

Rata-rata penerima jelas gembira dengan keprihatinan Ketua Wanita UMNO itu yang hadir bersama ahlinya ke rumah penerima semata-mata untuk menyampaikan bantuan itu sendiri.

Menurut salah seorang penerima, Fatimah Yeop Arif, 83,  beliau berasa beruntung serta terharu dengan kesungguhan pemimpin terbabit.

“Syukur..seronok sangat dapat bantuan begini dan apatah lagi Shahrizat sendiri yang datang menyampaikannya,” katanya pesara guru yang kini tinggal bersama tiga orang anaknya.

Sementara itu, Shahrizat berkata, program insiatif baharu YKN itu merupakan bantuan luar jangka dan sokongan kewangan secara serta merta bagi mengurangkan beban golongan yang memerlukan.

“Terutama sekali bagi mereka yang sedang menunggu mendapat bantuan-bantuan susulan daripada lain-lain agensi yang biasanya memerlukan sedikit masa bagi tujuan penilaian dan kelulusan bantuan.

“Terdapat juga individu-individu yang tercicir daripada sistem Jabatan Kebajikan Masyarakat jadi kita akan bantu juga golongan-golongan terbabit,” katanya ketika ditemui selepas program berkenaan.

Beliu memberitahu ketika ini terdapat sekitar 4,000 ahli sukarelawan daripada YKN yang menjalankan Progarm Selami Kasih 2018 di setiap parlimen seluruh negara.

“Konsep program ini adalah kita menggerakan tenaga sukarelawan tempatan untuk menyelami permasalhaan rakyat dan mengenal pasti kes-kes yang berkelayakan khususnya yang tercicir.

“Setelah dikenal pasti individu-individu yang berkelayakan seterusnya akan diberikan sumbangan segera secara ‘one-off’,”  ujarnya.

Program Selami Kasih 2018 telah dilancarkan pada 7 Mac 2018 di Ulu Yam Bharu oleh Perdana Menteri Mohd Najib Razak sempena lawatannya ke hulu Selangor.

Sekitar 50,000 individu telah dikenal pasti bakal mendapat manfaat daripada program berkenaan yang berupa sumbangan wang tunai serta barangan keperluan harian.