KAMPUNG GAJAH: Program Moh Kiter Ngopi Petang Bersama Usahawan Mude Perak anjuran SME Corp di Al Falah Kopitom di sini mendapat sambutan luar biasa.

Pengarah SME Corp Perak, Mohamad Rozlan Mohamad Razalii berkata, walaupun sasaran awal hanya 60 orang, program itu dihadiri kira-kira 140 usahawan muda.

Program itu yang dianjurkan bersama Persatuan Tunas Usahawan Perak dan Pemuda Pasir Salak diadakan sempena Permukiman Menteri Besar di Daerah Perak Tengah.

“24 peserta TUBE 1.0 – 3.0 dari seluruh Perak telah hadir untuk berkongsi pengalaman mereka menyertai TUBE dan sebagai usahawan belia,” katanya kepada Suara Perak pada Khamis.

permukiman-sme-corp 4

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil, Datuk Samsudin Abu Hasan menyempurnakan majlis penutup program itu.

Hadir sama ADUN Kg Gajah, Abdullah Fauzi Ahmad Razali serta pengarah-pengarah beberapa agensi berkaitan seperti MARA, MARDI dan FAMA di samping wakil-wakil TEKUN, SME Bank, PUNB, SKMM dan SKM.

Turut membuat penampilan istimewa adalah bekas rockers yang telah berhijrah – Ali Terrarossa/XPDC, Ijam Medicine dan Mel Wings berkongsi berkenaan keusahawanan menurut Islam.