IPOH: Program Street Dakwah bakal dilaksanakan di setiap daerah negeri ini dalam usaha menyemarakkan masjid sebagai pusat komuniti.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, cadangan itu dibuat berdasarkan maklum balas positif yang dilihat sepanjang tiga hari di Masjid Sultan Azlan Shah di sini.

Menurutnya, sebagai permulaan, beliau menawarkan program itu dianjurkan di Bagan Datuk untuk melihat perkembangan seterusnya.

“Dengan maklum balas daripada masyarakat di sini khususnya belia yang hadir sejak Jumaat lalu, kita berjaya jadikan masjid sebagai pusat pelbagai kegiatan tidak hanya untuk tempat beribadah sahaja,” katanya di majlis penutup Program Street Dakwah Masjid Sultan Azlan Shah pada Ahad.

Hadir sama Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Datuk Mohd Yusop Husin dan barisan panel yang terdiri daripada pelumba lagenda motosikal, Wazi Abdul Hamid.

Shahrul berkata, cabaran utama yang perlu dihadapi adalah menarik minat belia untuk menyertai aktiviti yang dianjurkan menerusi program seumpama itu.

“Kita cuba fokuskan kepada generasi muda sebab jika selama ini selalunya orang yang lebih berusia yang sinonim dengan program di masjid.

“Bukannya tidak ada langsung orang muda tapi kita mahu mereka meramaikan lagi dan alhamdulillah sambutan yang diterima sangat menggalakkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Yusop berkata, Street Dakwah mula dilaksanakan secara kecil kecilan bermula tahun lepas seperti di Gerbang Malam dan Masjid Negeri.

“Kehadiran ikon selebriti dan penceramah terkenal sedikit sebanyak menarik minat anak muda. Kita mahu komuniti mesra masjid dan bukan terhad kepada tempat solat sahaja,” katanya.

Street Dakwah yang berlangsung selama tiga hari bermula 3 Mac lalu berjaya mengumpulkan hampir 30,000 hadirin dari pelbagai lapisan umur.

street-dakwah 2