TELUK INTAN: Hasrat kerajaan untuk merangka sekitar 70 peratus masyarakat bandar diharap tidak akan menimbulkan isu jarak digital atau digital divide menjelang tahun 2050 kelak.

IMG-20170420-WA0004

Itu adalah antara isu yang menjadi kerisauan buat sesetengah golongan belia luar bandar yang hadir memberikan pandangan kritikal mereka dalam pertemuan Transformasi Nasional (TN50) yang berlangsung di Dewan Bandaran Teluk Intan, pada malam Rabu.

Program yang berlangsung lebih daripada tiga jam itu menyaksikan penyertaan moderator dan panel yang terdiri daripada Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, ADUN Changkat Jong, Datuk Adzhar Jamaluddin dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Datuk Shahrul Zaman Yahaya.

Pelbagai persoalan dikemukakan, malah hasrat hati golongan belia disuarakan dengan penuh semangat di kalangan 500 belia yang hadir dalam perjumpaan cukup santai itu.

Shahrul Zaman yang bertindak sebagai moderator berkata, beliau sama sekali tidak terkejut dengan ketinggian ilmu dan prihatinnya masyarakat Hilir Perak terhadap perkembangan semasa di negara ini.

“Ini suara mereka, ini hasrat mereka jadi kita sokong program oleh kerajaan dalam TN50 ini, kita rebut peluang Permukiman Menteri Besar ini untuk mereka berkumpul dan memberikan cadangan.

“Antara idea yang diberikan adalah memastikan tiada jurang digital nyata yang akan meminggirkan masyarakat luar bandar, pewujudan pelancongan marin udang air tawar, membina tapak bersejarah keretapi melanggar gajah seperti di Beaufort, Sabah dan menghapuskan masalah sosial gelandangan di negara ini pada tahun 2050,” katanya kepada Suara Perak.

Menurut beliau, kesemua itu adalah  merupakan sebahagian daripada pemikiran mereka yang telah terdedah dengan masalah di mata kasar mereka di mana ia diharapkan tidak akan berulang pada masa depan.

“Mereka tahu dan mereka sedar bahawa satu hari nanti negara ini akan menjadi rumah bagi keluarga mereka justeru apa yang mereka lontarkan adalah sesuatu yang mereka harap dapat diubah, diperbaiki menjelang 2050.

“Ini terbukti, bahawa TN50 sebenarnya menimbulkan perasaan prihatin dan kesedaran di dalam setiap diri belia untuk memperbaiki diri sendiri dan memastikan bahawa negara ini akan maju dengan penyertaan penglibatan semua pihak,” katanya lagi.

IMG-20170420-WA0007

d5847460-4d29-4c31-bded-8a76218e855d

Azzam Tawfiq Bahri, 17 yang ditemui berkata, TN50 merupakan satu dorongan kepada dirinya serta rakan-rakan untuk turut menyumbang sesuatu kepada keselesaan dan kesejahteraan mereka di masa depan.

“Sebelum ini mungkin ada antara kami yang segan dan malu kerana masih mempunyai stigma bahawa suara kami terabai dan tidak dipedulikan jadi apabila ada program sebegini, kami rasa kamilah pencorak dan penentu kehidupan generasi akan datang.

“Secara tidak langsung, ianya membuatkan kami prihatin, aktif dan memandang berat isu-isu, baik yang kecil, apa lagi yang besar, jenayah dan sebagainya, samada ianya memberi impak positif atau negatif itu bergantung kepada semua kami,” katanya.

Pelajar Sekolah Menengah Sains Teluk Intan itu juga berharap agar lebih ramai   belia akan bersikap terbuka dan memahami wawasan serta visi kerajaan untuk menjadikan Malaysia lebih baik  buat kesejahteraan generasi seterusnya.