IPOH: Program Usahawan Bergerak atau lebih dikenali sebagai Program Mobilepreneur yang diperkenal kerajaan pada 2016 mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada usahawan belia.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya, program itu bukan sahaja mendapat sambutan dari lepasan GIATMARA malah mendapat permintaan daripada peserta lain.

“Antara objektif utama program ini adalah bagi membantu menjana pendapatan golongan B40 melalui perniagaan secara bergerak,” katanya semasa menjawab soalan lisan Ahmd Hasbullah Alias (BN-Kubu Gajah) semasa sidang Dewan Negeri Perak pada Jumaat.

Shahrul berkata, tiga bidang utama telah ditawarkan di bawah program itu ialah automatif, penghawa dingin dan pendaiwaian elektrik.

“Peserta yang terlibat akan menerima sebuah motosikal lebih berorientaskan kepada perkhidmatan bercirikan mesra pelanggan, malah lebih mudah tanpa memerlukan modal besar untuk membuka premis perniagaan sekaligus mampu menjimatkan kos usahawan muda yang terlibat,” ujarnya.

Menurut beliau pada tahun 2017 negeri Perak telah diberi kuota seramai 135 orang peserta untuk diwujudkan usahawan bergerak di negeri ini.