IPOH: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) memberi komitmen untuk menyambung semula pelaksanaan Projek Agropolitan Ganda di Gerik setelah tergendala selama lapan tahun.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, projek seluas 1,011 hektar dan melibatkan 400 peserta itu sebelum ini mengalami kelewatan disebabkan faktor topografi tanah dan lokasi penempatan peserta.

Menurut beliau, meskipun kerajaan negeri faham kesulitan yang dihadapi KKLW, namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk terus melewatkan projek itu yang telah bermula sejak 2010.

“Hari ini Timbalan Ketua Setiausaha KKLW sendiri telah datang untuk berbincang semula mengenai projek tersebut dan mereka secara asasnya telah memberikan komitmen untuk meneruskan projek ini sehingga siap,” katanya dalam sidang media di Ipoh pada Rabu.

Terdahulu Timbalan Ketua Setiausaha KKLW, Datuk Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus yang melakukan kunjungan hormat ke atas Dr Zambry di Bangunan Perak Darul Ridzuan (SUK) telah membentangkan mengenai projek tersebut hampir dua jam.

Projek Agropolitan Ganda merupakan salah satu pelan pembangunan kawasan luar bandar yang dilaksanakan oleh KKLW melalui penyediaan rumah yang selesa dan dilengkapi dengan kemudahan asas serta disokong dengan pelbagai aktiviti.

Projek yang merangkumi tiga komponen utama iaitu ladang sejahtera, ladang komersil serta kawasan penempatan bagi 400 orang peserta terdiri daripada penduduk setempat, turut menyediakan kemudahan infrastruktur seperti dewan serbaguna, rumah kedai, surau, taska, tadika dan sebagainya.

Projek ini menjadi antara isu tetap yang dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri Kenering, Datuk Mohd Tarmizi Idris setiap kali persidangan Dewan Negeri Perak.

Dr Zambry berkata, bagi memastikan pelaksanaan projek itu kali ini dapat diteruskan tanpa sebarang masalah, kerajaan negeri dan KKLW telah bersetuju menubuhkan pasukan khas bersama untuk memantau pelaksanaannya dari fasa ke fasa.

“Bukan projek ini belum dimulakan, KKLW telah memulakan penanaman pokok getah beberapa tahun lalu, malah telah pun besar dan kini dijaga oleh Risda.

“Cuma, menjadi perhatian kerajaan negeri ialah penyediaan rumah dan infrastruktur asas kepada peserta-peserta terlibat seperti surau, tadika dan padang permainan.

“Ini merupakan asas yang menjadi perhatian kita kerana projek ini adalah dasarnya untuk membasmi kemiskinan…diharapkan dalam masa dua tahun ini, ia dapat dilaksanakan,” ujar Menteri Besar.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa kelewatan pelaksanaan projek berkenaan tidak hanya melibatkan Perak.

“Bukan sahaja Perak, tapi ia melibatkan banyak negeri lain, terdapat 11 projek Agropolitan di seluruh negara ini dan beberapa daripadanya mempunyai masalah yang sama,” kata beliau.