LUMUT: Sebanyak 10 buah keluarga di Kg Teluk Muroh di sini mendapat manfaat apabila Lembaga Air Perak (LAP) memasang paip UPVC PN 12 yang bergaris pusat 155 mm sepanjang 400 meter di kampung mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air Negeri Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, projek itu turut melibatkan pengalihan meter pengguna yang terletak jauh dari premis mereka.

Menurut beliau, dengan adanya projek itu, dijangka lebih banyak rumah akan dibina di kawasan berkenaan di masa hadapan.

csrlap 3

“Projek ini dapat mengelakkan pengguna terpaksa menanggung bil yang tinggi jika berlaku kebocoran paip antara meter ke rumah kerana tiada paip air retikulasi berhampiran,” katanya kepada Suara Perak selepas menyempurnakan perasmian projek itu pada Khamis.

Hadir sama Pengurus Besar LAP, Datuk Ir Mohd Yusof Mohd Isa.

Projek itu yang menelan belanja kira-kira RM19,000 dapat disiapkan dalam masa tiga minggu.

Ia juga merupakan sebahagian program di bawah tanggungjawab sosial korporat LAP.