PARIT BUNTAR – Projek pembinaan Hospital Kerian yang sedang berjalan di Simpang Lima, di sini kini dikenal pasti bermasalah dan memerlukan perhatian segera Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Pendedahan itu dimaklumkan sendiri oleh Exco Kerajaan Negeri Perak, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim susulan mengadakan lawatan mengejut ke tapak pembinaan hospital itu hari ini.

Hasnul Zulkarnain yang juga Adun Titi Serong berkata, hasil tinjauan mendapati perkembangan projek pembinaan hospital terbabit amat mengecewakan apabila kontraktor memaklumkan berdepan masalah kelewatan dari jadual asal sebanyak lima peratus.

Beliau mengakui terkejut punca kelewatan perjalanan projek mega terbabit disebabkan kesilapan Jabatan Kerja Raya(JKR) di mana terdapat percanggahan dalam aspek lukisan terbina (construction drawing) diserahkan kepada kontraktor berbanding pihak arkitek.

“Percanggahan ini melibatkan isu sangat besar kerana pihak arkitek ada memaklumkan saiz tiang diguna pakai menyokong beban bangunan tidak memenuhi syarat ruang keselamatan,

“Sedangkan saiz tiang itu dilakar dalam lukisan terbina mungkin memenuhi faktor keselamatan untuk struktur bangunan dan percanggahan ini pastinya menjejaskan perancangan kerja pihak kontraktor.

“Saya merasakan projek ini perlu mendapatkan perhatian Menteri Kesihatan bagi menyelesaikan isu fundamental itu dan Insya-ALLAH kita akan menjemput beliau bagi meninjau sendiri projek pembinaan Hospital Kerian dalam tempoh terdekat,”katanya kepada media selepas mengadakan lawatan mengejut ke tapak pembinaan Hospital Kerian, di sini hari ini.

Hasnul Zulkarnain berkata, pihaknya juga kurang bersetuju dengan pendekatan JKR memilih sebuah projek mega bernilai lebih RM100 juta seperti pembinaan Hospital Kerian untuk dilaksanakan projek berkonsepkan konvensional dan menggunakan rasuk yang pertama dibina di negara ini.

Menurutnya, pihaknya difahamkan JKR sendiri memilih projek pembinaan hospital itu sebagai projek perintis dan inisiatif ini sepatutnya ditumpukan kepada projek berskala kecil dan sederhana terlebih dahulu.

“Apabila tindakan awal diambil dengan memaklumkan kepada Menteri Kesihatan, saya berharap beliau boleh memberi maklum balas kepada bahagian projek khas JKR dari Putrajaya supaya segera melengkapkan lukisan terbina bagi memudahkan kerja kontraktor.

“Saya kira ini memang satu masalah besar dihadapi kontraktor dan sekiranya tiada perubahan mendadak dari segi reka bentuk bangunan, mereka akan berdepan masalah untuk menyiapkan struktur bangunan dari awal hingga proses kerja terakhir.

“Implikasi tidak langsung paling tidak diingini adalah projek ini pastinya akan berlaku kelewatan untuk disiapkan berbanding jadual asal di samping memberi beban tambahan kewangan kepada kerajaan sendiri,”katanya.

Hasnul Zulkarnain berkata, berdasarkan keadaan semasa, pihaknya melihat agak sukar untuk kontraktor menyiapkan mengikut jadual ditetapkan iaitu pada penghujung tahun 2020.

“Untuk tindakan segera, saya akan mengadakan pertemuan dengan JKR Perak bagi mendapatkan penjelasan di atas permasalahan timbul.

“Saya juga akan cuba memastikan berlaku kerjasama erat JKR dengan kontraktor dalam memastikan projek pembinaan hospital dapat dilaksanakan dengan berkesan dan tidak berhadapan masalah berbangkit di kemudian hari,”katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan pembinaan Hospital Kerian yang menelan kos sekitar RM136.7 juta dijangka siap sepenuhnya menjelang penghujung Disember 2020.

Pembinaan hospital empat tingkat di atas tanah seluas 5.2 hektar itu difahamkan menggunakan teknologi Pemodelan Bangunan Bermaklumat (BIM) yang berasaskan reka bentuk imej tiga dimensi – sinar harian