IPOH: Projek Hospital Kerian di Parit Buntar tidak dihentikan, sebaliknya akan diteruskan seperti yang telah dijanjikan kerajaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, fasa pertama projek berkenaan yang melibatkan kerja-kerja menambak dan meratakan tanah telahpun dimulakan.

Bagaimanapun, kata beliau, ia mengambil masa bagi memastikan supaya kadar mendapan tanah itu dapat dilakukan sehingga kemampatan tanah mencapai paras yang diperlukan.

Menurut beliau, pembinaan hospital tidak boleh dilakukan dengan hanya melakukan penambakan seperti biasa kerana tapak berkenaan merupakan kawasan sawah padi.

“Bayangkan, kalau berlaku mendapan, ia memberikan bahaya yang sangat serius kepada kawasan itu dan juga kepada mereka yang menggunakan bangunan itu…bayangkan kalau berlaku runtuhan nanti,” katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah projek perumahan untuk penjawat awam di Pengkalan dekat sini pada Jumaat.

Beliau diminta mengulas tindakan sebilangan kecil penduduk kawasan Simpang Lima dan Kampung Melaka di Parit Buntar yang membuat demonstrasi untuk mendesak kerajaan menyegerakan pembinaan hospital tersebut.

Dr Zambry berkata, beliau tidak marah dengan kumpulan itu, sebaliknya kasihan dengan mereka, yang kebanyakkan mungkin tidak tahu cerita sebenarnya.

“Yang pergi buat demonstrasi, mungkin setengahnya tak tahu, dengar cerita-cerita, samada betul atau tidak, ditambah ada kaki kipas, kaki cucuk sehingga ada yang percaya dengan apa yang disampaikan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan mereka supaya jangan mudah percaya dengan cerita-cerita yang didengar, sebaliknya cuba mendapatkan maklumat yang betul mengenainya.

“Tak apa rakyat hendak bertanya, bagus rakyat prihatin nak tahu tetapi jangan mengambil kesempatan seolah-olah kerajaan tak nak buat,” kata Dr Zambry.

ef6b7032-1733-4fc1-8129-c6c4a08bd863

2eb717fe-759a-416f-b1e4-849c568883cd

0a858d70-96b5-46e8-b181-6b4b7f79127c