PARIT BUNTAR – Kerajaan Harapan Perak menyifatkan dakwaan projek pembinaan Hospital Kerian di Simpang Lima, di sini sekali lagi tertangguh selepas kerajaan negeri diambil alih pakatan politik itu selepas PRU14 sebagai tidak berasas.

Exco Kerajaan Negeri, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkata, pihaknya menyifatkan dakwaan dilontarkan Pas Kawasan Parit Buntar dibuat secara rambang tanpa merujuk secara terus kepada kontraktor projek tersebut.

Menurutnya, berdasarkan kunjungan pihaknya ke tapak pembinaan projek pada awal bulan lepas, sememangnya ada kemajuan kerja ditunjukkan kontraktor dilantik berbanding sebelum PRU14.

“Cuma saya melihat ada beberapa peringkat untuk menyelesaikan beberapa dokumen kontrak tertangguh yang perlu disegerakan pihak bertanggungjawab.

“Antaranya adalah pelan berkaitan kerja pendawaian elektrik dan mekanikal (M&E) di mana perkara itu masih dalam proses perbincangan antara konsultan, kontraktor dilantik dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Saya difahamkan kini pihak JKR dalam proses untuk mengeluarkan tender bagi melantik kontraktor untuk perlaksanaan kerja M&E,” katanya kepada media sewaktu mengadakan lawatan ziarah sepuluh keluarga asnaf di Kampung Sungai Betul Bawah, di sini hari ini.

Hasnul Zulkarnian yang juga Adun Titi Serong berkata, pihaknya sentiasa memantau rapat perkembangan projek pembinaan Hospital Kerian itu sejak Harapan mengambil alih pentadbiran kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri selepas PRU14 – sinar