IPOH: Fasa 2 projek jalan dari Anak Kurau – Kamunting sepanjang 6.4 kilometer yang menelan kos kira-kira RM90 juta dijangka dimulakan November tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid berkata, buat masa ini ia masih di peringkat rekabentuk dan penyediaan pelan pengambilan balik tanah.

Menurut beliau, tender untuk projek itu dijangka dikeluarkan Julai ini manakala kerja-kerja ditapak dijadualkan pada November 2017 untuk siap dalam tempoh 24 bulan atau pada November 2019.

“Projek ini adalah sambungan daripada fasa satu sepanjang 2.5 kilometer yang telah siap pada tahun 2013 dengan kos kira-kira RM9 juta,” katanya kepada pemberita pada sidang media di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Selasa.

Hadir sama Jurutera Awam Penguasa (Jalan) Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Mohd Nazri Ali.

Mohamad Zahir menjelaskan, fasa dua projek itu terlewat sedikit dimulakan kerana perubahan jajaran yang melibatkan kawasan berbukit bukau dan gaung yang memerlukan pembinaan dua buah jambatan.

Beliau memberitahu, projek Jalan Anak Kurau – Kamunting akan memendekkan jarak daripada 22 kilometer kepada 8.9 kilometer dengan hanya kira-kira 10 minit perjalanan, berbanding 40 – 45 minit mengikut jalan lama.

Selain memendekkan perjalanan, ujarnya, projek di bawah pelan Greater Kamunting itu juga akan memberi banyak faedah kepada penduduk, baik dari segi ekonomi, mahupun faedah sosial.

Beliau memberi contoh, ia bakal meningkatkan perniagaan usahawan agro – pelancongan di sekitar kawasan Anak Kurau, Batu Kurau dan Sempeneh yang memang popular dengan tempat-tempat menarik dan durian kampung terbaik.

Katanya, mereka boleh menarik pengunjung Zoo Taiping yang merekodkan hampir satu juta pengunjung setahun di samping anak-anak boleh melanjutkan pelajaran di beberapa buah sekolah terbaik yang terdapat di Kamunting dan Taiping.

Mohamad Zahir yakin projek berkenaan akan memberi banyak manfaat kepada penduduk di sekitar Perak Utara, termasuk di Bukit Jana, Kamunting dan Taiping.

Sehubungan itu, beliau berharap penduduk di kawasan berkenaan dapat membuat persiapan untuk menghadapi pelbagai projek pembangunan yang bakal dilaksanakan.

“Jangan orang Batu Kurau, Anak Kurau semua fikir nak jual tanah pula, rugi , kerana potensi ekonominya banyak, itu sebab kita beritahu awal supaya mereka membuat persiapan masa depan,” ujarnya.

36afc2d1-7dbc-4625-ae27-df6f682b6da23f91b1c9-f304-47cb-aafc-fbba75adbc78