IPOH: Pembangunan jaringan paip gas asli cecair (LNG) sejauh 140 kilometer dari Ayer Tawar ke Lembah Kinta akan siap sepenuhnya pada 2019.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, projek yang sekian lama dinantikan itu akhirnya direalisasikan hasil kerjasama, antaranya, Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI), Gas Malaysia Berhad dan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FFM).

“Penyiapan projek itu akan dibuat mengikut fasa mulai dari suku keempat 2018 sehingga ke suku ketiga 2019.

“Ini merupakan satu perkembangan yang amat positif untuk negeri serta industri-industri yang ada di dalamnya, ini adalah manifestasi kesungguhan kerajaan negeri dalam membangunkan Perak sebagai hub pelaburan Malaysia,” katanya.

Beliau berucap demikian ketika merasmikan Majlis Makan Malam Tahun Ke-49 FMM di sini pada Isnin.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid; Presiden FMM, Tan Sri Dr Lim Wee Chai dan Pengerusi FMM Perak, Datuk Gan Tack Kong.

fmm49 4

Menjelaskan lebih lanjut mengenai projek LNG bernilai RM160 juta itu, Mohammad Zahir berkata, projek itu yang bakal menjadi “game changer” bagi pembangunan industri di Lembah Kinta akan memberi manfaat kepada 53 industri sedia ada apabila ianya siap sepenuhnya.

“Malahan projek yang ketika ini telah pun 40 peratus siap juga dijangka menarik minat lebih banyak syarikat serta pihak dari dalam dan luar negara untuk membuat pelaburan di Lembah Kinta.

“Setakat ini syarikat gergasi Top Glove telah pun memberikan komitmen mereka untuk mengembangkan lagi operasi mereka di sini dan banyak lagi, jadi ianya secara tidak langsung akan memberi impak positif kepada negeri ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis makan malam tersebut.

Beliau memberitahu, kerajaan negeri turut melabur sebanyak RM10 juta dalam projek paip LNG tersebut manakala RM50 juta dari Kerajaan Persekutuan dan selebihnya adalah dari Malaysia Gas Berhad.

“Kita amat mengalu-alukan projek ini kerana secara tidak langsung ia akan memberi keuntungan kepada banyak pihak di mana ia mengurangkan kos operasi melibatkan pelbagai industri,” ujar beliau.