PALEMBANG: Sudah wujud minat dalam kalangan syarikat swasta di Indonesia untuk menjayakan projek kereta dengan Malaysia dengan menyasarkan pasaran rantau Asia Tenggara.

Presiden Indonesia, Joko Widodo, memberitahu demikian ketika mengakui banyak kali berbincang dengan Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung perkara berkenaan.

Beliau turut menyifatkan projek itu sebagai ‘idea besar’ yang boleh memberi kebaikan ekonomi kepada negaranya dan Malaysia.

“Itu adalah idea besar yang bagus, akan kita kaji dan rancang. Lebih baik ia dilakukan secara business to business (B to B) kerana pasaran ASEAN besar.

“Saya kira di Indonesia ada banyak syarikat (yang berminat). Saya berpendapat, banyak kerjasama ‘B to B’ boleh dilakukan,” kata beliau dalam wawancara eksklusif dengan rangkaian media dan berita Media Prima di Kompleks Sukan Jakabaring, Palembang, yang menjadi lokasi sebahagian acara Sukan Asia 2018.

Menjelaskan rasional di sebalik projek berkenaan, beliau merujuk kepada pertumbuhan sektor automotif Indonesia yang mencapai empat peratus pada 2017, manakala eksport mencecah 14 peratus.

Ditanya jika ada sesuatu tempoh masa yang disasarkan untuk melancarkan kereta itu, Joko yang lebih dikenali dengan panggilan mesra ‘Jokowi’, berkata beliau sudah mengarahkan menterinya meneliti semua persoalan mengenai penghasilan kereta Malaysia dan Indonesia.

Lebih cepat, lebih baik

“Untuk saya jika sudah dikaji dan dihitung lebih cepat lebih baik,” kata beliau yang percaya projek kereta dua negara itu boleh memberi manfaat kepada rakyat Malaysia dan Indonesia.

Idea projek kereta itu diketengahkan oleh Dr Mahathir pada Februari 2015 ketika beliau memandu uji sebuah kereta Proton dengan Jokowi duduk di bahagian penumpang hadapan.

Minggu lalu, diberitakan DRB-Hicom dipilih untuk menggerakkan projek kereta dua negara ini.

Awal bulan ini, Proton dilaporkan menyatakan bahawa perjanjian yang dimeterai dengan syarikat Indonesia, PT Adiperkasa Citra Lestasi, pada tahun 2015 untuk membangun dan mengeluarkan kereta ASEAN masih berjalan.

Jokowi juga berpendapat, hubungan dua hala Malaysia dan Indonesia akan meningkat di bawah kepemimpinan Dr Mahathir, khususnya selepas pertemuan mereka baru-baru ini di Istana Bogor.

“Kita lihat ada peningkatan kerjasama di antara Malaysia dan Indonesia setelah pertemuan saya dengan Dr Mahathir, termasuk dari segi perdagangan dan pelaburan,” katanya.

Statistik pelaburan dari Malaysia ke Indonesia adalah sebanyak AS$3.97 bilion (RM14 bilion) antara 2008 hingga September tahun lalu manakala pelaburan Indonesia ke Malaysia pula adalah AS$1.89 bilion (RM6.7 bilion) – berita harian