SERI ISKANDAR– Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengesahkan kelulusan kawasan 400 hektar tanah untuk projek ladang hutan kepada sebuah syarikat sebelum ini, setelah melepasi syarat kelayakan dan ulasan dari jawatankuasa berkaitan.

Beliau menegaskan, tanah yang diluluskan itu adalah dari jenis hutan sekunder (semak samun) yang sama sekali tidak melibatkan sebarang aktiviti pembalakan serta pembangunan.

Ahmad Faizal berkata, walaupun syarikat yang mendapat kelulusan permit itu masih baru namun mempunyai kaitan dengan syarikat lebih besar dan berupaya mengusakan kawasan hutan sekunder untuk pulangan hasil kepada negeri.

“Isu kelulusan ladang hutan 400 hektar di dua lokasi Hutan Simpan Kledang Saiong dan Hutan Simpan Bukit Kinta tidak ada kaitan dengan penerokaan haram di cerun bukit berhampiran Bukit Kledang.

“Apabila ada satu kawasan yang mempunyai pokok-pokok yang tidak membawa hasil kepada kerajaan negeri, kita tanam semula supaya dapat beri hasil lebih banyak kepada kerajaan negeri.

“Nama-nama syarikat ini telah dibawa masuk ke mesyuarat, bermksud syarikat ini telah pun melepasi syarat kelayakan untuk diputuskan dalam mesyuarat,”katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Perakku Program Perumahan Rakyat Seri Iskandar pada Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak yang membuat laporan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan dakwaan sebuah syarikat yang baru lima bulan beroperasi tanpa sebarang profil namun dikatakan diberikan tanah seluas 400 hektar.

Syarikat yang digelar “syarikat dua ringgit” di mana pemegang saham adalah dua individu bergelar Datuk diberikan tanah berkenaan di dua kawasan iaitu Kledang Saiong dan Bukit Kinta untuk projek pembangunan ladang hutan dalam hutan simpan.