IPOH – Segala kerosakan yang berlaku terhadap premis atau kediaman disebabkan perlaksanaan Projek Loji Rawatan Kumbahan Serantau Rangkaian Paip Pembentungan di Daerah Kinta ketika ini akan ditanggung oleh kontraktor dilantik.

Itu janji Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Malaysia (KeTTHA) Datuk Seri SK Devamany mengenai aduan diterima dari penduduk di daerah ini yang mendakwa kediaman mereka serta jalan raya di beberapa kawasan rosak akibat perlaksanaan projek berkenaan sejak penghujung tahun lalu.

Menurut beliau bagaimanapun kerja membaik pulih kerosakan itu akan dilakukan selepas projek berkenaan siap sepenuhnya.

“Memang sudah termaktub di dalam kontrak bahawa pihak kontraktor yang dilantik akan membaiki semula kerosakan-kerosakan yang berlaku, malah bukan sahaja premis tetapi ia termasuk juga jalan raya atau kemudahan awam mengunakan kos mereka sendiri.

“Namun kerja-kerja pembaikan semula itu hanya akan dilakukan selepas projek ini siap sepenuhnya kerana jika pembaikan itu dilakukan sekarang berkemungkinan besar ia akan rosak semula disebabkan mendapan tanah ekoran gegaran dari kerja-kerja yang giat dilakukan ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada siding media selepas menghadiri Majlis Taklimat dan Penyelarasan Perlaksanaan Projek Loji Rawatan Kumbahan Serantau Rangkaian Paip Pembentungan di Papan, daerah Kinta di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada orang ramai khususnya di daerah Kinta supaya bersabar di atas kesulitan akibat perlaksanaan projek bernilai RM2 bilion tersebut yang akan memberi pelbagai manfaat kepada 1.5 juta penduduk.

“Kita mahu memberi kesedaran serta maklumat kepada rakyat bahawa apabila projek-projek besar begini dilakukan aka nada beberapa masalah terutamanya aliran trafik dan sebagainya.

“Namun kerajaan telah membelanjakan berbilion ringgit untuk keselesaan rakyat dan jangan risau segala masalah ini akan diselesaikan, ia hanya bersifat sementara,” ujar beliau.

Projek yang dijangkakan siap pada tahun 2021 itu meliputi tiga pakej termasuk pembinaan rangkaian paip pembentungan di pusat bandar ipoh serta beberapa kawasan lain sepanjang 160 kilometer dan pembinaan loji rawatan kumbahan serantau di Papan.