IPOH: Penduduk di Persiaran Pegoh Aman 2, Taman Desa Aman hidup dalam keresahan ekoran masalah yang berlaku, dipercayai berpunca daripada pelaksanaan projek loji kumbahan berhampiran rumah mereka.

Mereka menggesa campurtangan pihak berwajib bagi membantu menangani masalah yang menghantui mereka sejak kira-kira setahun lalu.

Seorang penduduk, Mohammad Shah Malek, 31, berkata, sejak projek itu dimulakan awal 2016, mereka sentiasa bimbang kerana berlaku gegaran dan keretakan rumah di samping habuk dari kawasan projek.

“Keretakan rumah berlaku sedikit demi sedikit sehingga yang paling teruk, awal tahun ini, dia punya empangan pecah menyebabkan berlaku pergerakan rumah, menyebabkannya retak, kami penduduk sangat risau,” katanya ketika ditemui hari ini.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi yang juga Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains, Alam Sekitar Dan Penerangan negeri, YB Dr Abdul Aziz Bari melawat kawasan yang terlibat.

Difahamkan projek yang dimaksudkan ialah Projek Loji Rawatan Kumbahan Serantau dan Rangkaian Paip Pembentungan di Papan atau dikenali sebagai Projek Papan 1 bernilai RM2 bilion.

Mohammad Shah mendakwa, ekoran kejadian itu, penduduk yang terlibat diberikan pampasan antara RM3,000 hingga RM50,000, bergantung kepada kerosakan yang berlaku, di samping beberapa jaminan.

Bagaimanapun, dakwanya, selepas Pilihan Raya Umum ke-14, jaminan yang diperkatakan pihak kontraktor senyap begitu sahaja.

“Apa yang kami harapkan agar pihak kontraktor bertanggungjawab apa yang telah dijanjikan kepada kami dan kami mahu projek siap, kami di sini dalam keadaan yang selamat,” ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Hazrul Mohd Nor Kamal, 37, berkata, berdasarkan situasi sekarang, penduduk bimbang nasib mereka di masa hadapan.

“Memang saya rasa tak puas hati, takut di masa akan datang, apabila projek dah siap, tiba-tiba berlaku keruntuhan rumah ke, takut beri kesan kepada kami.

“Cuma kami nak diberikan pampasan ataupun jaminan agar kami yakin duduk kat sini,” katanya sambil berharap pihak berkenaan dapat mendengar keluhan penduduk.

Sementara itu, Dr Abdul Aziz berkata, beliau akan berjumpa pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan kontraktor untuk mendapat penjelasan mengenai masalah yang dihadapi oleh penduduk.

“Yang kita berasa musykil, tidak adakah kajian dibuat oleh kerana berhampiran dengan kawasan perumahan seperti ini.

“Kita tidak menafikan projek yang penting tetapi seharusnya kajian ataupun langkah-langkah untuk menjaga kepentingan penduduk di kawasan itu dibuatlah,” katanya.