TELUK INTAN – Projek menaik taraf ban sekitar Batu 8, Jalan Teluk Intan – Hutan Melintang dijangka siap dalam tempoh tiga minggu selepas kerja-kerja menaik taraf dijalankan bermula Selasa lalu.

Adun Pasir Bedamar, Terence Naidu berkata, kerja menaik taraf ban berkenaan dijalankan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dengan kos dianggarkan bernilai hampir RM100,000.

“Menurut laporan daripada Jurutera JPS Daerah Hilir Perak, Mohd Shamimi, Mohd Tahir, skop kerja yang akan dilakukan adalah menaikkan ban tanah merah dan memacakkan batang kelapa sebagai benteng penahan.

“Ini merupakan pembinaan ban sementara sehingga pihak pengusaha pasir bertanggungjawab di kawasan tersebut mengemukakan reka bentuk lukisan ban daripda jurutera bertauliah untuk pembinaan yang seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Terence turut berharap agar penduduk di kawasan berkenaan bersabar menunggu sehingga kerja-kerja menaik taraf ban tersebut siap demi keselesaan mereka.

“Saya juga ingin mengucapakan terima kasih kepada intervensi kerajaan negeri melalui Menteri Besar Perak, Datuk Ser Ahmad Faizal Azumu melalui mesyuarat dan perbincangan bersama dengan kadar segera masalah ini terus diselesaikan.

“Penasihat Menteri Besar Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin juga telah mengambil tindakan yang pantas menangani isu dengan berusaha untuk mendapatkan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya – sinar