PARIT BUNTAR – Meskipun sudah tiga kali tempoh siap perlaksanaan projek menaik taraf Padang Bandaran, di sini dilanjutkan kerajaan negeri, namun sehingga kini pembinaan stadium dilengkapi kemudahan padang sintetik itu masih gagal disiapkan kontraktor dilantik.

Senario itu mencetuskan kebimbangan Exco Kerajaan Negeri, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim yang tidak menolak kemungkinan projek menaik taraf salah satu venue acara bola sepak Sukma 2018 itu tidak dapat disiapkan sepenuhnya pada masa ditetapkan iaitu 30 Ogos ini.

Lebih mengecewakan, dalam tempoh berbaki sembilan hari lagi, Hasnul Zulkarnain menegaskan tahap kemajuan perlaksanaan projek bernilai RM8.6 juta oleh kontraktor dilantik hanya mencapai 85 peratus.

Menurutnya, berdasarkan pengamatan dibuat, terdapat banyak kerja-kerja penting masih belum disempurnakan kontraktor iaitu bumbung astaka belum dipasang, kerja lantai tidak siap, kerja pendawaian elektrik tidak sempurna, kerja pemasangan lampu limpah serta sistem saliran longkang.

“Saya bimbang dalam tempoh berbaki sembilan hari, jika pihak kontraktor masih tidak memberikan komitmen kerja terbaik, stadium ini(Padang Bandaran) berkemungkinan tidak dapat diserahkan kepada Sekretariat Sukma 2018 pada 30 Ogos nanti.

“Perlu saya tekankan projek ini istimewa kerana kontraktor dilantik menerima tender secara rundingan terus oleh kerajaan negeri terdahulu.

“Memandangkan sudah tiga kali kerajaan negeri Harapan terpaksa memberi penangguhan tarikh siap projek kepada kontraktor terbabit, saya mendesak mereka dapat menyiapkannya mengikut masa ditetapkan,”katanya kepada media sewaktu mengadakan lawatan ke tapak projek menaik taraf Padang Bandaran, di sini hari ini.

Hasnul Zukarnain berkata, di sebalik kebimbangan tersebut, pihaknya sudah diberi jaminan oleh pengurusan tertinggi syarikat kontraktor terbabit akan menyiapkan kerja ditetapkan pada 30 Ogos ini.

Menurutnya, pihaknya juga akan berhubung dengan Exco Belia dan Sukan, Howard Lee dan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu dengan kadar segera bagi memaklumkan perkembangan terbaharu projek terbabit.

“Saya juga akan meminta pihak Sekretariat Pengurusan Sukma 2018 menyediakan satu pelan kecemasan sekiranya kerja penyediaan bilik persalinan di kawasan astaka tidak dapat disiapkan kontraktor mengikut masa ditetapkan.

“Satu pelan penyediaan bilik persalinan alternatif untuk kegunaan pemain dan pegawai pasukan kelak perlu ada bagi mengelakkan sebarang permasalahan sewaktu temasya sukan berlangsung dan terdapat cadangan Dewan Merdeka digunakan sebagai salah satu alternatif,”katanya.

Hasnul Zulkarnain berkata, tempoh penyerahan semula projek menaik taraf Padang Bandaran kepada kerajaan negeri sepatutnya ditetapkan kali pertama pada 15 Julai lalu, namun ditangguhkan kepada 20 Ogos dan kini tertangguh kali ketiga pula pada 30 Ogos.

Menurutnya, pihaknya agak bimbang bila kelewatan kali kedua tempoh penyerahan projek berlaku dan jika masalah kewangan penyebab projek lewat disiapkan, ianya tidak mungkin.

“Masalah kewangan bukan isu kerana kerajaan negeri sudah menyediakan peruntukan khas bagi perlaksanaan kerja persiapan penganjuran Sukma 2018 termasuk penyediaan infra.

“Projek ini sangat penting bagi saya kerana bakal menjadi mercu kebanggaan penduduk Kerian kelak.

“Jika pembinaan padang sintetik bertaraf antarabangsa di sini tidak dijalankan dengan sempurna, ianya pasti memberi kekecewaan kepada penduduk Kerian,”katanya.

Sebagai pengajaran kepada kerajaan negeri, Hasnul Zulkarnain mencadangkan satu panel jawatankuasa teknikal khas diwujudkan bagi memantau mana-mana projek kerajaan akan datang yang diberikan kepada kontraktor dilantik secara tender terbuka.

“Selepas ini tidak ada lagi keistimewaan diberikan kepada kontraktor dan kerajaan mahukan kontraktor memberi pulangan apa yang kerajaan laburkan dalam sesuatu projek kepada sesuatu yang bermakna serta memberi manfaat besar kepada rakyat,”katanya.